sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap Buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bola Sepak Selangor akan memberi inspirasi kepada pemain Selangor FC dalam berjuang dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).
Menurut Baginda, buku yang diterbitkan itu menceritakan bagaimana pemain terdahulu mampu membentuk pasukan sehingga digeruni oleh pasukan lain dan berjaya meraih pelbagai kejuaraan di Liga M.
Malah, Baginda berharap pemain akan terus berjuang untuk skuad Merah Kuning dan kekal setia berbakti untuk Selangor FC.
“Beta masih ingat dengan jelas, ketika pasukan bola sepak Selangor diterajui oleh Datuk Seri Harun Idris pada era 60-an, Beta menyaksikan sendiri bagaimana para pemain Selangor mempamerkan kesetiaan yang luar biasa kepada pasukan. Mereka bermain dengan sepenuh jiwa, bukan demi nama peribadi, tetapi demi lencana di dada, demi warna merah kuning dan maruah negeri.
“Beta masih ingat slogan keramat yang dipegang oleh Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari iaitu ‘SAYA HIDUP DAN MATI UNTUK SELANGOR’. Semangat inilah yang Beta harapkan agar terus hidup dan menjadi pedoman kepada generasi pemain hari ini.
“Apa yang kita boleh belajar daripada pemain-pemain Selangor terdahulu adalah semangat kesetiaan mereka kepada pasukan yang tidak berbelah bahagi.
“Semasa era 60-an, 70-an dan 80-an, Selangor tidak memiliki pemain import namun masih boleh berada di puncak liga, menjuarai piala-piala utama dan mampu menang di peringkat antarabangsa,” kata Baginda semasa Majlis Buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bola Sepak Selangor di Stadium Merdeka, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Selangor FC (SFC) yang juga Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, pemain Selangor dan bekas pemain Selangor.
Selain itu, Baginda berharap program pembangunan juga dapat diperhebatkan seperti sebelum ini sehingga melahirkan begitu ramai pemain berbakat di negeri ini.
“Fokus ketika itu diberikan kepada usaha-usaha mencungkil bakat tempatan dari setiap daerah di Selangor, anak-anak negeri yang dibentuk dengan disiplin, kesungguhan dan rasa cinta yang mendalam kepada pasukan.
“Pendekatan ini telah melahirkan pemain berjiwa besar serta mewujudkan hubungan emosional yang kukuh antara pasukan dan penyokong.
“Beta amat kagum dengan semangat dan kegigihan para pemain dan penyokong pada masa itu yang telah berjaya menjulang nama Selangor sebagai sebuah pasukan yang digeruni dan disegani. Terima kasih juga kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang banyak membantu dan menyokong para pemain,” kata Baginda.
Pada perkembangan sama, Baginda juga memberi nasihat agar penyokong setia Merah Kuning menjaga tingkah laku dan tidak terbabit dengan perkara tidak baik termasuk dadah.
“Beta ingin mengambil kesempatan ini juga untuk menasihatkan para penyokong Selangor masa kini agar sentiasa menjaga tingkah laku dan adab, sama ada di dalam stadium mahupun di luar. Jauhilah najis dadah yang boleh merosakkan akhlak dan pemikiran.
“Sokongan yang bersemangat hendaklah disertai dengan disiplin dan kebijaksanaan. Jagalah maruah pasukan dan negeri, elakkan perbuatan yang boleh mengundang hukuman atau denda, dan suarakan ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul serta berhemah. Ingatlah bahawa penyokong adalah cerminan kepada pasukan yang disokong,” kata Baginda.
© New Straits Times Press (M) Bhd



