Balik Pulau: Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan beliau belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) atau sebaliknya.
Beliau sebaliknya berkata mahu terus berkhidmat kepada negara sebagai seorang teknokrat.
Amir Hamzah berkata reputasi beliau selama ini terbina sebagai penjawat profesional yang menyumbang kepakaran dalam bidang ekonomi dan kewangan dengan peranan berkenaan dilaksanakan sepenuhnya melalui jawatan Menteri Kewangan II yang disandang pada masa ini.
“Biarlah saya berusaha membantu negara dengan cara yang saya boleh dan pada masa ini, saya mempunyai peluang untuk menabur bakti melalui tugas saya sebagai Menteri Kewangan II,” katanya selepas Sesi Turun Padang Kampung Angkat MADANI YB Menteri Kewangan II di Kampung Pulau Betong di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan akan bertanding pada PRU akan datang.
Amir Hamzah adalah anak jati Pulau Pinang dan dilahirkan di Hospital Besar Pulau Pinang, namun membesar di Kuala Lumpur berikutan perkhidmatan ayahnya dalam sektor kerajaan.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa 12 Disember 2023 hingga 11 Disember 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




