am@hmetro.com.my
Kulim: Wanita ditahan selepas membuat provokasi, mengeluarkan perkataan kesat serta menumbuk muka anggota seorang polis lelaki di Balai Polis Sungai Kob, di sini, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, suspek berusia 34 tahun itu tiba di balai polis berkenaan jam 3.30 petang dan membuat provokasi dengan dengan mengeluarkan perkataan kesat kepada seorang anggota wanita.
Beliau berkata, ketika itu datang anggota polis lelaki itu untuk menenangkan suspek namun ditumbuk di bahagian muka.
“Pada jam 3.45 petang, datang pula seorang anggota polis lagi dan suspek bertindak memaki anggota terbabit dengan perkataan kurang sopan sebelum menendang pintu kaunter aduan sehingga pecah.
“Berikutan itu, suspek yang juga peniaga itu ditahan pada hari sama untuk tindakan lanjut dan direman bermula semalam hingga esok untuk membantu siasatan, ” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan Seksyen 426 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, dia bebas dari dadah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




