sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tidak menunjukkan minat untuk menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Pemilihan Kongres FAM yang akan datang.
Menurut Tengku Amir Shah, buat masa ini baginda lebih memberi tumpuan kepada skuad Selangor FC dan masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memastikan skuad Merah Kuning mencipta kejayaan pada masa akan datang.
“Oh tidak, saya tidak berminat (jawatan Presiden FAM). Saya berminat dengan FAS dan banyak yang kita mahu capai buat masa ini.
“Banyak yang perlu kita lakukan untuk pengadil kerana saya percaya kita boleh mendapatkan pengadil dan jurulatih yang lebih baik, bukan setakat pemain tetapi keseluruhan ekosistem bola sepak.
“Itu yang saya fikir saya boleh sumbangkan dengan lebih baik daripada FAS. Jadi itu fokus saya buat masa ini di bawah FAS,” kata Tengku Amir Shah selepas Majlis Pelancaran Buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bolasepak Selangor di Stadium Merdeka, hari ini.
Selain itu, bagi memastikan bola sepak negara terus bergerak maju selepas ini, baginda terbuka untuk terus memberi sokongan namun tetap menyatakan fokus utama adalah bola sepak di Selangor.
“Saya akan menyokong dan memberikan yang terbaik untuk melakukan apa yang perlu saya lakukan bagi menyokong bola sepak Malaysia. Seperti yang saya katakan, fokus saya adalah untuk FAS,” katanya.
Sebelum ini, Arena Metro melaporkan ‘orang lama’ dalam landskap bola sepak negara terus melaungkan nama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai calon paling layak kembali menerajui FAM.
Selain Sultan Abdullah, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dianggap antara calon paling sesuai untuk diketengahkan sebagai Presiden FAM.
Untuk makluman, ketika ini berlaku kekosongan jawatan utama di FAM selepas kesemua kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM meletak jawatan beramai-ramai sebagai langkah untuk proses pemulihan badan induk itu pada 28 Januari lalu.
Ekoran situasi itu, terdapat pelbagai cadangan calon untuk mengisi jawatan pada Kongres Pemilihan Exco FAM yang akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




