Cuti anggota trafik di beku sempena Ops Selamat Tahun Baharu Cina-Polis Kelantan

Cuti anggota trafik di beku sempena Ops Selamat Tahun Baharu Cina-Polis Kelantan

TUMPAT: Polis Kelantan sudah membekukan cuti 30 pegawai dan 200 anggota trafik bagi memastikan kelancaran aliran kenderaan di seluruh negeri lancar sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, penugasan dibuat secara bergilir-gilir bagi memastikan aliran trafik di kawasan panas yang telah dikenal pasti terkawal.

Katanya, penugasan sepenuh masa itu tertumpu di Gua Musang yang menjadi laluan utama keluar masuk kenderaan setiap musim perayaan.

“Sebanyak 109 melibatkan lokasi panas kesesakan dan kemalangan telah dikenalpasti di seluruh negeri.

“Kita mahu kehadiran anggota di lapangan mampu mengurangkan kesesakan dan mencegah kemalangan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya sempena Ops Selamat di Pasir Pekan, di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, bilik Gerakan Subtek Ops Selamat turut diaktifkan bagi mengumpul data pelaporan sepanjang operasi berlangsung, selain menyelaras gerakan anggota di kawasan terlibat.

Katanya, pengguna jalan raya perlu mematuhi had laju, tidak menggunakan lorong kecemasan, tidak memotong di garisan berkembar serta mematuhi lampu isyarat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Pada masa sama pihaknya juga akan menggunakan dua unit dron bagi memantau keadaan trafik,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dianggarkan hampir 1 juta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan sempena cuti Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan yang disambut serentak pada tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, berkata cuti umum itu memberi ruang kepada anak-anak Kelantan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.-UTUSAN

Scroll to Top