sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan mengatur individu tertentu untuk bertanding pada Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seakan-akan menunjukkan bahawa mereka tidak mahu melakukan perubahan positif, sebaliknya memilih untuk melangkah ke belakang.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, budaya seperti ini dilihat tidak bagus untuk perkembangan bola sepak negara, apatah lagi selepas badan induk itu menghadapi krisis terbesar dalam sejarahnya oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Justeru, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap budaya percaturan dan politik dalaman menjelang pemilihan itu yang disifatkan boleh menghalang usaha transformasi bola sepak negara.
“Saya tak nafikan benda ini akan berlaku. Bila ada pemilihan dalam FAM, memang sudah ada percaturan. Kalau tak pasal letak jawatan beramai-ramai tempoh hari, kita tahu setiap kali ada pemilihan untuk kongres FAM, wujud percaturan. Pemilihan kongres kali ini tak payah catur-catur. Tak payahlah orang kata keluar senarai-senarai (terpilih) ataupun komplot.
“Kita sebenarnya nak perubahan yang drastik. Kita bukannya nak catur balik semula, nak masukkan orang itu, nak masukkan orang ini, nak letak orang dia atau dia nak bertanding semula. Bukan kita nak yang itu.
“Apa yang terjadi itu seakan-akan mereka lebih memilih untuk menolak transformasi yang peminat inginkan untuk melihat FAM benar-benar berubah dan bukan berada pada tahap seperti sebelum ini,” katanya kepada Arena Metro.
Selain itu, melihat situasi yang terjadi kepada FAM ketika ini, sudah pasti seorang individu yang penuh berintegriti diperlukan untuk berada dalam jawatankuasa FAM agar mereka boleh berbakti semula kepada pemegang taruh yang lain dan bukan demi kepentingan tertentu.
“Kita nak pemimpin yang mempunyai keikhlasan, dedikasi dan integriti yang tinggi selain mempunyai komitmen untuk memimpin FAM bagi memajukan bola sepak negara, bukan untuk kepentingan peribadi.
“Kita juga perlukan pemimpin yang berfikir apa yang boleh diberikan kepada FAM untuk membantu badan induk ini dan bukannya individu yang melihat apa FAM boleh beri kepada mereka. Kita tak mahu orang macam ini,” katanya.
Tambahnya, calon kepimpinan juga perlu memiliki kepakaran pelbagai bidang termasuk kepimpinan, akademik, pengurusan sumber manusia dan pentadbiran sukan bagi memastikan organisasi diurus secara profesional.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa negara ketandusan pemimpin berkualiti, sebaliknya menegaskan peluang perlu dibuka bagi melahirkan pemimpin baharu melalui proses pembelajaran dan pendedahan berterusan.
“Pemimpin tidak lahir secara tiba-tiba. Mereka terbentuk melalui proses pembelajaran, pengalaman dan peluang. Jika pintu ditutup, bagaimana kita mahu melihat pemimpin baharu muncul?” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




