Dua lagi anak suspek utama ditahan

Dua lagi anak suspek utama ditahan

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Dua lagi anak kepada suspek utama kes pembunuhan wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi di Indah Permai, Menggatal, ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan.

Penahanan terbaharu itu menjadikan keseluruhan empat individu kini ditahan berhubung kes berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, dua wanita tempatan masing-masing berusia 29 dan 21 tahun ditahan di kawasan Sepanggar dan Inanam, hari ini.

“Kedua-dua wanita berkenaan adalah anak kepada suspek utama dalam kes itu.

“Mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung peranan serta pengetahuan mereka berkaitan kejadian ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sebelum ini, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun yang juga suspek utama, ditahan pada 12 Februari lalu di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini.

Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun turut ditahan pada malam yang sama di kawasan Sepanggar bagi membantu siasatan.

Syed Lot berkata, hasil tindakan pantas dan siasatan berterusan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Kinabalu, beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes turut dirampas.

“Antara yang dirampas ialah telefon bimbit, pakaian, sepasang sarung tangan, satu bilah parang berukuran kira-kira 27 inci serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mayat wanita lingkungan 40-an ditemukan dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai.

Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki pada jam 6.30 pagi sebelum pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada jam 11.40 pagi di lokasi berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top