sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) mengucapkan tahniah kepada Zamri Ibrahim apabila diberikan kepercayaan sekali lagi sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan percaya sukan bola sepak di negeri itu akan terus berkembang dengan baik.
Menurut Setiausaha Agung PBMM, Nazri Husin, beliau melihat Zamri Ibrahim adalah individu tepat untuk membawa kembali kegemilangan Singa Utara yang pernah digeruni satu ketika dahulu.
Justeru, Nazri berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat membuka semula pintu buat PFA menjadi sebahagian ahli gabungan badan induk di negara ini.
“Pertama sekali, tahniah buat Zamri Ibrahim apabila sekali lagi diberikan tanggungjawab untuk menerajui sukan bola sepak di negeri Perlis. Saya melihat beliau adalah individu yang berkebolehan dan mempunyai minat terhadap sukan bola sepak.
“Tapi mungkin sedikit perancangan yang hendak dilakukan terhalang kerana mereka kini bukan ahli gabungan FAM. Sebab itu saya menaruh harapan tinggi dan percaya FAM bersedia untuk membuka buku baharu untuk Perlis demi memastikan sukan bola sepak di negara ini terus melangkah maju,” katanya.
Untuk makluman, wakil dari Perlis, Kuala Perlis Titans yang bersaing dalam saingan Liga A2 Amatur 2025/2026 berjaya menunjukkan persembahan cukup cemerlang apabila berjaya mara sehingga ke separuh akhir.
Perkembangan seperti ini sudah pasti mampu membawa perubahan positif PFA sekiranya dapat kembali menjalinkan kerjasama dengan FAM untuk merangka lebih banyak program akar umbi di negeri berkenaan.
Terdahulu, Zamri mempertahankan jawatannya sebagai Presiden PFA untuk kali kedua bagi penggal 2026-2030 apabila diisytiharkan menang tanpa bertanding dalam Kongres Tahunan PFA ke-29, 30 dan 31 hari ini.
Pemilihan kali ini juga menyaksikan gabungan muka lama dan muka baru dari terutama dari bidang profesional kembali membarisi Jawatankuasa PFA sehingga 2030 akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




