Zamri kekal Presiden PFA, MB Perlis tidak jadi bertanding

Zamri kekal Presiden PFA, MB Perlis tidak jadi bertanding

KANGAR: Zamri Ibrahim mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bagi penggal 2026-2030 apabila diisytiharkan menang tanpa bertanding bersempena Kongres Tahunan PFA ke-29, 30 dan 31 yang berlangsung di sini hari ini.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah yang sebelum ini menyatakan kesediaan menerajui PFA pula tidak jadi bertanding jawatan berkenaan selepas tidak menghantar borang pencalonan atas alasan teknikal.

Penggal kali ini juga menyaksikan bekas Ahli Parlimen Kangar merangkap Pengerusi PKR negeri, Noor Amin Ahmad menyandang jawatan Timbalan Presiden PFA bagi menggantikan Dr. Abdul Ghafur Hanafi yang dipilih menjadi salah seorang daripada Naib Presiden persatuan itu.

Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif PFA bagi penggal lalu, Mohd Khomeini Halipah pula dipilih menjadi salah seorang daripada tiga Naib Presiden PFA bersama seorang lagi muka baharu iaitu A. Puspanathan.

Bagi Jawatankuasa Eksekutif pula, tiga muka lama dari penggal terdahulu kekal menganggotai barisan jawatankuasa berkenaan, manakala tujuh muka baharu diangkat mewakili jawatankuasa bagi penggal ini.

Zamri berkata, gabungan muka lama dan baharu terutama dalam kalangan profesional yang terpilih dalam jawatankuasa PFA memperlihatkan bahawa kematangan ahli gabungan memilih wakil yang diyakini mampu mencorakkan bola sepak negeri itu agar terus disegani.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih terutama kepada wakil jawatankuasa terdahulu atas khidmat mereka serta dedikasi dan komitmen yang tidak mengenal masa dalam memartabatkan bola sepak Perlis ke persada lebih tinggi.

“Kombinasi muka baharu dan lama ini juga diharapkan dapat membawa bola sepak Perlis ke arah lebih progresif dan positif,” katanya.

Katanya, antara perancangan beliau ialah membawa PFA kembali bergabung sebagai salah satu daripada ahli gabungan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Ada wakil ahli gabungan kita turut membangkitkan isu berhubung pemecatan PFA sebagai ahli gabungan dalam FAM dan saya serta jawatankuasa yang baharu dilantik ini sedang berusaha untuk memohon kepada FAM membatalkan keputusan pemecatan keahlian itu.

“Langkah ini akan dimulakan apabila jawatankuasa baharu FAM sendiri dibentuk menggantikan jawatankuasa lama pada Kongres FAM yang diadakan kelak.

“Kita juga akan memperkasakan semula pembangunan bola sepak akar umbi terutama melalui kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) menerusi penganjuran Liga Super Perlis dan sebagainyax

“Kita juga berharap kerajaan negeri serta Menteri Besar baharu dapat memberikan sokongan terhadap usaha kita ini,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top