SHAH ALAM: Pelakon popular, Meerqeen, melakar kemenangan berganda apabila dinobatkan sebagai penerima trofi utama pada majlis Gempak Most Wanted Awards 2025 (GMWA 2025) yang berlangsung di Auditorium MBSA, di sini, malam tadi.
Meerqeen atau Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 24, berjaya meraih sebanyak 2.5 juta undian dalam talian selain memperoleh 40.5 peratus markah daripada barisan juri profesional yang terdiri daripada pengamal media elektronik dan tradisional.
Menurut Meerqeen, kemenangan tersebut menjadi pembakar semangat untuknya melangkah lebih jauh pada tahun hadapan.
“Terima kasih kepada pihak penganjur dan barisan juri. Anugerah ini akan menjadi permulaan yang lebih besar untuk 2026.
“Saya sedang melakukan sesuatu yang besar untuk anda semua. Saya tahu badan saya nampak lebih besar dan berisi sekarang, tetapi itu hanya sementara kerana saya sedang membuat persiapan untuk sesuatu yang akan disajikan kepada anda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia pada sesi sidang media sejurus tamat majlis berkenaan.
Malam gemilang itu menyaksikan pemenang ditentukan menerusi kombinasi 50 peratus undian dalam talian dan 50 peratus penilaian juri profesional.
Selain trofi utama, Meerqeen turut membawa pulang anugerah Selebriti Digital Tergempak.
Turut mencuri perhatian ialah Christy Ng (Digital Creator Entertainment Tergempak), Jason (Digital Creator Foodie Tergempak), Sir Badang (Digital Creator Motivation and Education Tergempak), Nigel Sparks (Digital Creator Beauty and Fashion Tergempak), Wani Faizun (Digital Creator Lifestyle Tergempak) serta Hakim Nanyan (Digital Creator Sport Tergempak).
Dalam kategori muzik, kumpulan Alpha meraih dua trofi menerusi Lagu Era Tergempak dan Video Muzik Tergempak bagi lagu Mona Lisa (Bang Bang) serta P. Ramlee Saloma.
Sementara itu, Drama Tergempak dimenangi Thariq Ridzuwan: His Treasure, manakala Program Digital Tergempak menjadi milik Sembang Seram (Jihaa Sham) terbitan Safwan Nazri Podcast. Pelakon Amelia Henderson pula memenangi kategori Hos Program Tergempak.
Tahun ini, GMWA tampil dengan tema ‘Re-Culture’ yang mencerminkan tafsiran semula elemen budaya yang telah sebati dalam masyarakat agar terus relevan seiring peredaran zaman. – UTUSAN




