Akhirnya enam beradik di Cherating terima sijil lahir

Akhirnya enam beradik di Cherating terima sijil lahir

Kuantan: Enam beradik berusia 11 hingga 23 tahun di Cherating, di sini yang tiada dokumen diri menerima sijil kelahiran masing-masing hari ini selepas melalui proses pendaftaran lewat oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang.

JPN Pahang dalam kenyataan memaklumkan kes berkenaan melibatkan enam anak Hazlina Husin yang sebelum ini tidak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan, sekali gus menjejaskan akses mereka kepada pendidikan, peluang pekerjaan serta kemudahan dan bantuan kerajaan.

“Sebagai ibu tunggal, Hazlina turut berdepan cabaran menyara keluarga termasuk menjaga seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang terlantar,” menurut kenyataan itu.

Penyerahan sijil berkenaan disempurnakan Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias di kediaman keluarga Hazlina sejajar dengan pendekatan inklusif dan ihsan yang digariskan Kerajaan MADANI.

Menurut kenyataan itu, JPN Pahang telah melaksanakan siasatan awal berhubung ketiadaan dokumen pengenalan diri enam beradik berkenaan pada 28 Januari lalu di kediaman mereka dengan kerjasama Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang.

“Semakan awal mendapati antara faktor utama kelewatan pendaftaran kelahiran adalah kekangan berkaitan pengesahan perkahwinan ibu bapa, memandangkan dokumen perkahwinan yang sah di sisi undang-undang Malaysia adalah antara dokumen diperlukan dalam proses pendaftaran kelahiran,” menurut kenyataan itu.

JPN Pahang memaklumkan Hazlina bersama lima anaknya, penganjur serta saksi hadir ke JPN Pahang di sini bagi melengkapkan proses permohonan Daftar Lewat Kelahiran termasuk sesi temu duga pada 3 Februari lepas.

Selain itu, Pasukan Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) JPN Pahang turut digerakkan ke kediaman keluarga itu pada 11 Februari bagi menguruskan pendaftaran secara terus bagi seorang lagi anaknya yang berstatus OKU.

“JPN Pahang komited memastikan setiap warganegara yang layak memperoleh dokumen pengenalan diri mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta menyeru masyarakat supaya memastikan setiap peristiwa penting termasuk kelahiran, perkahwinan dan kematian didaftarkan dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top