Suspek tragedi berdarah Sydney berdepan 15 pertuduhan bunuh

Suspek tragedi berdarah Sydney berdepan 15 pertuduhan bunuh

Sydney: Naveed Akram, lelaki yang dituduh melakukan serangan berdarah di Bondi Beach, muncul dalam prosiding mahkamah Australia melalui pautan video hari ini. Ini penampilan pertamanya di khalayak umum sejak insiden tembakan besar-besaran paling tragis melanda negara itu dalam tempoh hampir tiga dekad.

Akram bersama bapanya, Sajid, didakwa menyerang majlis sambutan Hanukkah pada Disember lalu. Sajid maut ditembak polis ketika serangan berlangsung. Akram kini berdepan pertuduhan keganasan, 15 tuduhan membunuh, puluhan tuduhan mencederakan individu dengan niat membunuh serta memasang bahan letupan.

Dia hadir dalam prosiding di mahkamah Sydney selama kira-kira lima minit dari penjara. Menurut kenyataan mahkamah dan media tempatan, garis masa bukti turut dibincangkan dalam sesi ringkas itu.

Memakai jersi hijau, Akram hanya memerhati ketika mahkamah menguruskan hal teknikal termasuk perintah sekatan identiti mangsa. Beliau dilaporkan cuma menyebut satu perkataan — “yeah” — apabila ditanya hakim sama ada beliau mendengar perbincangan berkaitan pelanjutan perintah sekatan itu.

Peguam bela Akram, Ben Archbold, yang ditemui di luar mahkamah menyatakan anak guamnya ditahan dalam “keadaan yang sangat membebankan”. Katanya, masih terlalu awal bagi menentukan sama ada Akram akan mengaku bersalah atau tidak. Kes dijadualkan disebut semula pada 9 Mac depan.

Tragedi ini mencetuskan kebimbangan nasional berhubung isu antisemitisme serta kemarahan rakyat atas kegagalan melindungi komuniti Yahudi di Australia. Kerajaan juga berjanji akan memperketat undang-undang pemilikan senjata api. Antara mangsa terkorban termasuk mangsa terselamat Holocaust berusia 87 tahun, pasangan suami isteri yang cuba menghalang penyerang, serta kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun bernama Matilda.

Agensi perisikan dan polis kini berdepan tekanan hebat sama ada tindakan awal mampu menghalang tragedi ini. Naveed Akram pernah berada dalam radar agensi perisikan Australia pada 2019, namun pengawasan terhadapnya dihentikan selepas beliau dianggap tidak membawa ancaman segera.

Dokumen polis mendedahkan dua beranak itu menjalani “latihan senjata api” di kawasan luar bandar New South Wales sebelum serangan. Suspek dikatakan merancang serangan secara terperinci selama berbulan-bulan, malah gambar menunjukkan mereka melepaskan tembakan dan bergerak dalam gaya taktikal turut didedahkan.

Pasangan itu juga merakam video pada Oktober yang mengecam “Zionis” sambil duduk di hadapan bendera kumpulan pelampau IS bagi menjelaskan motif serangan mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top