“Sejujurnya saya penat, ‘fed up’ dengan rasa yang mungkin takkan pernah hilang.. Rasa sedih yang macam tiada penghujung. Rasa rindu yang tak pernah habis”, demikian luahan hati pelakon versatile, Nabila Huda menerusi hantaran di media sosial miliknya baru-baru ini.
Menurut Nabila, perasaan sedih dan rindu terhadap insan yang tersayang bukan sesuatu yang mudah untuk dijelaskan, apatah lagi untuk dipadam begitu sahaja.
Katanya, situasi yang dihadapinya itu bukanlah melibatkan soal ego untuk berdamai seperti yang sering didakwa segelintir pihak melainkan, sudah ‘penat’ untuk berjuang sendirian.
“Sejujurnya saya penat, ‘fed up’ dengan rasa yang mungkin takkan pernah hilang.. Rasa sedih yang macam tiada penghujung. Rasa rindu yang tak pernah habis. Sangat susah untuk dijelaskan.
“Saya faham segelintir di luar sana cakap suruh buang ego, berdamai. Tapi ini bukan soal ego, bukan soal berdamai. Ini soal kedamaian itu datang. Tapi sementara.
“Bila seorang sahaja yang pegang, walau sekuat mana pun cuba kukuhkan, akhirnya tetap runtuh. Dan kebahagiaan itu jadi sementara lagi. Bertahun-tahun, pusing balik ke tempat yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, Nabila mengakui cuba untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dan melangkah ke hadapan. Namun, rasa yang dipendamnya itu tetap menjadi beban emosi untuknya sehingga dia lebih selesa untuk ‘bersendirian’.
“Saya cuba hidup seperti biasa. Saya berusaha sedaya upaya melupakan perkara itu dan melangkah ke depan. Hanya hidup dengan diri sendiri, tapi rasa itu tetap ada. Untuk menanggungnya sangat berat.
“Sampai saya jadi benci nak keluar rumah. Tak nak berjumpa muka-muka yang pernah saya sayang sepenuh hati. Tapi akhirnya jadi pengkhianat dan luka yang paling dalam.
“Sebab itu saya hanya gembira jika di set penggambaran dan di rumah sahaja, sibukkan diri. Rasa gusar dalam diri akan hilang walaupun sementara.
“Rasa gembira, rindu, hancur, marah, sedih semua dalam satu masa. Itu semua sangat menyedihkan atau mungkin saya tidak patut berada di situ pada awalnya,” jelasnya.
Terdahulu, Nabila antara barisan artis yang hadir memeriahkan Konsert Malam Tertinggi Rockqueen Ella yang diadakan di Stadiun Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.




