Dua wanita cedera kenderaan dihempap pokok tumbang

Dua wanita cedera kenderaan dihempap pokok tumbang

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Pantang maut sebelum ajal apabila dua wanita cedera selepas kereta dinaiki dihempap pokok tumbang di sebuah pangsapuri di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, tengah hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 12.11 tengah hari.

Susulan itu katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi.

“Komander operasi melaporkan sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta Mitshubishi Xpander yang mana terdapat dua mangsa tersepit.

“Seorang wanita berusia 39 cedera di kepala dan muka manakala seorang lagi wanita berusia 42 tahun cedera bahagian pinggang.

“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, kejadian berkenaan turut tular dan dikongsikan pengguna media sosial.

Berdasarkan gambar yang tular ada mangsa yang kelihatan terperangkap dalam kenderaan dan cuba dibantu oleh orang awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top