Shamsul Iskandar mohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

Shamsul Iskandar mohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memohon supaya lima tuduhan rasuah yang dihadapinya dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pada 3 Disember tahun lalu, Shamsul Iskandar, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Pada 5 Disember pula, Shamsul Iskandar didakwa dengan satu tuduhan rasuah berjumlah RM64,924 berkaitan perkara sama.

Menurut Shamsul Iskandar dalam afidavit sokongan, beliau mengemukakan permohonan itu kerana pertuduhan terhadapnya membabitkan persoalan undang-undang dan isu yang kompleks.

Shamsul Iskandar berkata, ia antaranya pemakaian Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694) bagi kes membabitkan sumbangan politik dan tafsiran istilah undang-undang yang teknikal, di mana kepakaran dan pengalaman Hakim Mahkamah Tinggi akan memainkan peranan penting ketika perbicaraan.

Katanya, beliau juga dinasihati oleh peguam dan percaya sekiranya perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi, pihak-pihak berpeluang merayu ke Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan secara mutakhir terutama perkara membabitkan keperlembagaaan peruntukan di bawah Akta 694.

“Saya juga percaya bahawa keputusan dan alasan penghakiman oleh mahkamah atasan terutamanya Mahkamah Persekutuan akan memberi manfaat dan panduan kepada mahkamah yang lain,” katanya.

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Shamsul Iskandar, berkata permohonan itu difailkan pada 4 Februari lalu di Mahkamah Tinggi.

Beliau yang dihubungi media hari ini selepas prosiding pengurusan kes rasuah terbabit melalui e-Review berkata, pendengaran permohonan pemindahan kes itu ditetapkan pada 9 April ini.

Antara alasan untuk memindahkan kes ialah terdapat persoalan dan isu undang-undang yang luar biasa dan membabitkan keperlembagaan peruntukan di bawah Akta 694 dan hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan seterusnya Mahkamah Persekutuan.

Selain itu, kes berkenaan juga berkepentingan awam membabitkan pertuduhan ke atas mantan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri dan ia tidak memprejudiskan mana-mana pihak.

Bagi tuduhan pertama, Shamsul Iskandar sebagai seorang ejen kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, didakwa telah secara rasuah menyetuju terima untuk dirinya suapan, iaitu wang tunai RM100,000.00 daripada ahli perniagaan, Tei Jiann Cheing atau turut dikenali sebagai Albert Tei, sebagai dorongan bagi melakukan perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya.

Ia dengan membantu syarikat yang Jiann Cheing mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Negeri Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.

Perbuatan didakwa dilakukan di tempat letak kereta, YTL Majestic Hotel, No 5, Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, pada 24 November 2023.

Shamsul Iskandar juga didakwa memperoleh suapan untuk dirinya sendiri, iaitu wang tunai RM40,000 daripada Jiann Cheing bagi tujuan sama di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini, pada 29 Januari 2024.

Dia turut didakwa atas dua lagi pertuduhan, iaitu memperoleh untuk dirinya sendiri satu suapan, iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini, antara 7 Dis 2023 dan 31 Jan 2024 serta di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 26 Februari dan 5 Mac 2024.

Bagi keempat-empat tuduhan itu, Shamsul Iskandar didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top