nurul.hidayah@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Kehidupan seorang remaja lelaki berubah selepas dia disahkan menghidap penyakit otak jarang jumpa, Febrile Infection-Related Epilepsy Syndrome (FIRES), tahun lalu.
Putra Farish Aiman, 17, pada awalnya mengalami demam pada 25 April tahun lalu sebelum dibawa ke klinik swasta.
Bapanya, Mohd Fadzli Mohd Yusof, 48, berkata, pada awalnya, anak beliau disyaki demam denggi dan dirujuk ke hospital swasta pada 27 April.
“Namun pada 3 pagi 29 April, saya dan isteri (Azida Amsah, 48) menerima panggilan daripada hospital yang memaklumkan anak mengalami sawan.
“Putra Farish dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ditidurkan. Kemudian pada 1 Mei, dia dipindahkan ke wad ICU Hospital Sungai Buloh.
“Berdasarkan laporan di hospital swasta berkenaan, anak menghadapi masalah ‘auto immune’ dan perlu mengambil rawatan khas immunoglobulin intravena (IVIG) selama lima hari.
“Bagaimanapun, anak hanya sempat mengambil rawatan satu hari semasa di hospital swasta, manakala empat hari lagi diambil di hospital ini (Hospital Sungai Buloh),” katanya yang bekerja dalam sektor insurans.
Bagaimanapun katanya, anak bongsu daripada dua beradik itu masih mengalami sawan dan terpaksa ditidurkan selama dua bulan.
“Selepas anak sedar, dia masih mengalami sawan dan terpaksa diberi ubat penenang. Sepanjang tempoh lima bulan dirawat di ICU, anak masih mengalami sawan.
“Keadaan itu menyebabkan pihak doktor membuat keputusan untuk mengeluarkan anak dari ICU dan meletakkan dia di Wad Perubatan Akut (MAW) bagi mengelak jangkitan.
“Sebelum ini, anak mengalami sawan antara lima hingga sepuluh kali sehari tetapi selepas ditempatkan di MAW, kekerapan sawan berkurangan dengan ketara. Namun, ia masih berlaku dua hingga tiga kali seminggu,” katanya.
Kata Mohd Fadzli, hampir 10 bulan Putra Farish berada di hospital berkenaan kerana masih memerlukan rawatan bagi memastikan keadaannya lebih stabil sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada masa akan datang.
“Antara rawatan yang kini diterima anak termasuk kawalan sawan, rawatan imunologi, rehabilitasi serta persediaan keluarga untuk penjagaan kejururawatan di rumah.
“Keadaan ini menyebabkan Hospital Sungai Buloh sudah menjadi rumah kedua kami. Tidak pernah sehari pun saya dan isteri tidak melawat anak,” katanya.
Menurutnya, dia dan isterinya terharu, gembira dan sebak apabila kakitangan MAW meraikan hari lahir Putra Farish pada 11 Februari lalu.
Sebelum ini, pihak Hospital Sungai Buloh berkongsi sambutan hari lahir Putra Farish bersama kakitangan MAW menerusi hantaran di akaun Facebook hospital berkenaan, baru-baru ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




