PASUKAN hoki lelaki negara meletakkan kelayakan ke Piala Dunia sebagai matlamat utama menjelang pusingan kelayakan di Ismailia, Mesir dari 1 hingga 8 Mac ini.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata, skuad negara perlu mara ke perlawanan akhir kejohanan itu bagi mengesahkan tiket automatik ke Piala Dunia.
Menurutnya, pasukan memiliki barisan pemain berkualiti dan tahap komitmen tinggi sepanjang tempoh persiapan, justeru sasaran ke final dianggap realistik.
“Kami perlu berada di final. Pemain bekerja keras dan menunjukkan perkembangan positif.
“Mara ke final kelayakan akan memastikan tempat ke Piala Dunia,” katanya pada sidang media di Bukit Jalil pada Isnin.
Sarjit turut menjelaskan perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat membawa tekanan tersendiri, selain faktor jadual kejohanan kelayakan lain yang berlangsung serentak.
“Perlawanan tempat ketiga dan keempat sering menjadi aksi berisiko. Tambahan pula, satu lagi kejohanan kelayakan di Chile berlangsung pada 8 Mac dan situasi itu memberi sedikit kelebihan kepada pasukan lain,” katanya.
Mengulas tahap persiapan, beliau berpuas hati dengan peningkatan kecergasan pemain, namun mengakui masih ada aspek yang perlu diperkemas, terutama di bahagian pertahanan dan penyudah.
“Pertahanan semakin tersusun dan banyak peningkatan dicapai sejak dua tahun lalu.
“Dalam masa sama, keupayaan menyudahkan peluang perlu dipertingkatkan supaya kami mampu mengawal perlawanan dengan lebih awal,” katanya.
Piala Dunia 2026 berlangsung di Belgium dan Belanda dari 14 hingga 30 Ogos ini.
Sementara itu, pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak menjangkakan cabaran tambahan apabila kejohanan berlangsung dalam bulan Ramadan.
Bagaimanapun, beliau yakin pemain negara mampu mengekalkan prestasi terbaik walaupun beraksi dalam keadaan berpuasa.
“Kami sedar cabaran itu tidak mudah, namun pelbagai program telah dirangka bagi memastikan pemain kekal cergas, terhidrat dan bertenaga sepanjang kejohanan,” katanya.
Dalam undian kejohanan, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, China dan Austria.
Skuad negara dijadual membuka kempen menentang Austria pada 1 Mac, diikuti Pakistan sehari kemudian sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang China pada 4 Mac.
Mengikut format pertandingan, dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.
Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia pada edisi 2023 di India dan menamatkan saingan di tempat ke-13 keseluruhan.
Ringkasan AI
- Pasukan hoki lelaki negara menetapkan kelayakan ke Piala Dunia sebagai matlamat utama
- Ketua jurulatih berpandangan sasaran ke final dianggap realistik berdasarkan kualiti dan komitmen pemain
- Peningkatan dalam aspek kecergasan pemain dicapai, namun aspek pertahanan dan penyudah perlu diperbaiki
- Piala Dunia 2026 akan diadakan di Belgium dan Belanda
- Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, China dan Austria dalam pusingan kelayakan


