am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Seorang duda yang sepatutnya menamatkan tempoh pengawasan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 bulan ini, terpaksa meringkuk dalam penjara kerana melanggar syarat serta mencuri kenderaan.
Tertuduh, Mas Nurazslan Abdoll Mulop, 42, dijatuhi hukuman penjara 54 bulan selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 15 (2) (e) Akta POCA 1959 kerana didakwa melanggar syarat pengawasan polis dengan meninggalkan kawasan di Parit Lubok, Semerah, di sini, 8.30 malam, 28 Januari lalu.
Selain Seksyen 15 (2) (e), tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) akta sama (Akta 297) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mencuri sebuah kereta milik lelaki berusia 35 tahun di lokasi sama pada jam 11 pagi, 27 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan
Berdasarkan fakta kes, polis membuat pemeriksaan rutin di tempat tinggal tertuduh dan mendapati dia tiada di rumah. Tinjauan dijalankan selama 30 minit di kawasan rumah namun lelaki itu tidak kelihatan.
Tertuduh ketika itu sedang menjalani pengawasan tambahan selama 10 bulan sehari yang diperintahkan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah selepas tempoh asal bermula 24 Mei 2023 hingga 6 April 2025 berakhir.
Pengawasan dikenakan bagi kesalahan mengikut Seksyen 15 (4) Akta POCA, Seksyen 457 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan tertuduh dalam sebuah kereta di Taman Paya Emas, Melaka pada jam 3.30 petang, 11 Februari.
Selain itu, tertuduh didapati melarikan kereta selepas mangsa memberi kebenaran untuk menggunakan kenderaan itu sepanjang menjalani perintah pengawasan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Suhaila Shafi’uddin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun berkuat kuasa tarikh ditangkap manakala pertuduhan kedua, 18 bulan bermula hari sabitan, hari ini dengan kesemuanya berjalan serentak.
© New Straits Times Press (M) Bhd



