mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Maklumat mengenai struktur gaji bekas penyerang Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut kembali menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan selepas kelab itu sekali lagi disenaraikan dalam sekatan perpindahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 9 Februari lalu.
Perkara itu dipercayai berkaitan dengan tuntutan yang difailkan oleh Mamut terhadap bekas majikannya itu susulan perselisihan pembayaran gaji dan elaun.
Perkembangan terkini timbul selepas penemuan satu dokumen keputusan FIFA Dispute Resolution Chamber bertarikh 6 November, yang memperincikan kandungan kontrak serta tuntutan kedua-dua pihak.
Menurut dokumen itu, surat tawaran bertarikh 14 November 2022 menetapkan nilai keseluruhan pakej kontrak Mamut sekitar RM995,000 bagi musim 2023.
Struktur pembayaran termasuk gaji bulanan sebanyak RM83,000, elaun rumah RM2,000, elaun pengangkutan RM1,000 serta bayaran pendaftaran bersamaan sebulan gaji.
Namun, dokumen itu turut menyatakan bahawa satu kontrak rasmi yang berkuat kuasa 1 Januari 2023 menetapkan gaji kasar bulanan RM26,616, selain bayaran tambahan lain yang dipersetujui antara kedua-dua pihak.
Perbezaan terma pembayaran inilah yang menjadi asas pertikaian kepada FIFA, dengan Mamut menuntut bayaran yang didakwa masih tertunggak berdasarkan perjanjian terdahulu.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak TFC berhubung sekatan perpindahan atau dakwaan tunggakan bayaran membabitkan Mamut.
Penyelesaian rasmi antara kedua-dua pihak dijangka menentukan perkembangan lanjut.
Sebagai rekod, Mamut menyertai TFC pada awal musim 2023 dan menyumbang 23 gol serta satu bantuan dalam 35 penampilan sebelum mengalami kecederaan panjang yang menjejaskan permainannya.
Hubungan Mamut dengan TFC berakhir pada 2025 apabila penyerang kelahiran Croatia itu kembali ke tanah airnya dan menyertai NK Varazdin.
Perkembangan itu sekali lagi menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat mengenai pengurusan gaji pemain import di Liga Malaysia serta implikasi sekatan perpindahan FIFA terhadap kelab tempatan, terutama membabitkan pemain yang cedera dalam tempoh lama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




