Chong Wei mahu bawa Piala Thomas kembali ke Malaysia

Chong Wei mahu bawa Piala Thomas kembali ke Malaysia

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biarpun kini memainkan peranan di belakang tabir, Datuk Seri Lee Chong Wei tetap membawa misi besar iaitu membantu skuad negara mengembalikan trofi Piala Thomas ke bumi Malaysia.

Saingan edisi kali ini akan berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei depan, dengan Chong Wei bertekad memastikan impian seluruh rakyat Malaysia untuk melihat trofi berprestij itu dijulang semula menjadi kenyataan.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bekas perseorangan lelaki nombor satu dunia itu mahu menggunakan pengalaman luasnya bagi memperkukuhkan perancangan dan persiapan pasukan.

Ketika bergelar pemain, Chong Wei tidak berjaya menghadiahkan kejuaraan kepada negara dengan pencapaian terbaik muncul naib juara pada edisi 2014 di India.

Malaysia pula kali terakhir menjulang trofi berkenaan pada 1992 di Kuala Lumpur.

“Saya mahu Piala Thomas balik ke Malaysia. Dari 1992 sampai sekarang sudah lama. Ini impian semua orang, satu Malaysia,” katanya.

Chong Wei menegaskan sasaran skuad negara sememangnya adalah untuk muncul juara, namun pendekatan psikologi terhadap pemain akan diberi perhatian supaya tekanan tidak membebankan mereka.

“Sasaran memang sama, kita mahu juara. Itu tidak berubah. Tetapi saya tahu kalau asyik cakap ‘champion, champion’, tekanan akan bertambah kepada pemain.

“Jadi peranan saya adalah membantu kurangkan tekanan itu, berkomunikasi dengan mereka supaya tidak fikir terlalu banyak.

“Fokus beri yang terbaik saja. Takut kalah itu biasa, tapi kita kena belajar hadapi,” katanya.

Mengulas perancangan kem latihan, Chong Wei berkata, persiapan sudah dirangka lebih awal berbanding kebiasaan apabila skuad negara dijadual mengadakan kem latihan selama 10 hari di Denmark sejurus tamat Kejohanan Badminton Asia dari 7 hingga 10 April.

“Kita sudah rancang sejak Disember tahun lalu. Selepas Kejohanan Asia, kita terus ke Denmark selama 10 hari.

“Kita bawa pemain, rakan sepelatih dan jurulatih yang sudah disenaraikan.

“Selalunya perancangan dibuat sebulan atau dua bulan sebelum kejohanan, tetapi kali ini kita rancang lima hingga enam bulan lebih awal.

“Jurulatih perlu beri senarai nama lebih awal dan kita juga perlu sediakan bajet kerana membabitkan lebih 50 pemain termasuk skuad Piala Uber,” katanya.

Menurutnya, pemilihan Denmark sebagai lokasi kem awal penting bagi memastikan pemain dapat menyesuaikan diri dengan faktor cuaca, gelanggang dan mengurangkan kesan jet lag.

“Jet lag satu hal. Tempat dan cuaca pun berbeza. Kalau pergi awal 10 hari, pemain boleh lebih fokus tanpa gangguan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top