am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Perpecahan BERSATU sehingga menyebabkan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dipecat disebabkan perebutan kuasa dan sikap tidak sabar untuk mengetuai parti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata perebutan jawatan utama sebagai presiden itu dianggap sebagai luar biasa dan membelakangkan perlembagaan parti.
Beliau berkata, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, Perak, sepatutnya bersabar dan menunggu sehingga Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU yang dijangka diadakan tahun depan.
“Pemecatan Hamzah dan disusuli dengan peletakan jawatan 16 Ahli Parlimen dengan memberi alasan tidak yakin dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden dilakukan secara berhemah dan mengikut lunas perlembagaan.
“Pemecatan Hamzah dilakukan bukan secara tergesa-gesa, sebaliknya siasatan serta peluang membela diri sudah diberikan Lembaga Disiplin parti,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Pimpinan BERSATU negeri, di sini hari ini.
Razali yang juga EXCO kerajaan negeri berkata, BERSATU negeri mengulangi untuk terus memberi sokongan kepada Muhyiddin menerajui parti sehingga penggal tempohnya berakhir pada PAT tahun depan.
Katanya, konflik kepimpinan dalam BERSATU bukan disebabkan kepada pengkhianatan kepada rakyat, sebaliknya pemecatan Hamzah dan beberapa pemimpin lain adalah perkara biasa.
Mengulas dakwaan pembubaran beberapa bahagian BERSATU, Razali berkata, ketua bahagian dan cawangan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk membubarkannya, sebaliknya berdasarkan perlembagaan, hanya Majlis Tertinggi parti yang mempunyai kuasa membubarkan parti.
Katanya, konflik kepimpinan BERSATU bukannya kali pertama berlaku, sebaliknya sudah dua kali iaitu ketika parti dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga beliau menubuhkan Pejuang dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menubuhkan MUDA.
“Nama Hamzah tidak sehebat Tun Mahathir dan Syed Saddiq, sebaliknya BERSATU pimpinan Muhyiddin berjaya membantu parti memenangi 40 kerusi Parlimen.
“Seluruh ahli dan pimpinan BERSATU perlu berganding bahu mempertahankan parti terutama membantu parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




