KANGAR: Kerajaan negeri mengambil inisiatif menyediakan peruntukan sebanyak RM121,672 bagi caruman perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada Majlis Pembangunan dan Kemajuan Kampung (MPKK) di negeri ini.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah memberitahu, ia sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan MPKK.
Katanya, caruman tersebut adalah untuk setahun dan sekiranya berlaku apa-apa kemalangan dan insiden dalam tempoh tersebut, MPKK terbabit layak mendapat faedah daripada Perkeso.
Beliau berkata, pada penggal 2026/2027, kerajaan negeri meluluskan pembentukan 413 buah MPKK dengan pertambahan sebanyak 34 cawangan baharu iaitu selepas mengambil kira keperluan semasa di peringkat komuniti.
“Saya merayu kepada semua agar berkhidmat sehingga ke penghujung penggal. Janganlah ada yang meletak jawatan atau melakukan pertukaran sebelum tamat tempoh kerana ia akan memberi kesan kepada pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri serta caruman Perkeso tersebut,” katanya pada majlis pertauliahan Pengerusi dan Setiausaha MPKK Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini.
Abu Bakar memberitahu, kerajaan negeri melalui Belanjawan 2026 turut bersetuju menaikkan kadar elaun MPKK sejajar dengan beban tugas dan keadaan ekonomi semasa.
Katanya, kenaikan kadar elaun berkenaan membabitkan pengerusi sebanyak RM400 iaitu kenaikan RM100 dan elaun setiausaha kepada RM300 juga kenaikan sebanyak RM100.
“Manakala elaun kehadiran mesyuarat pula sebanyak RM30 iaitu kenaikan RM10. Dengan kenaikan kadar elaun ini, saya mengharapkan agar semua pengerusi, setiausaha serta ahli jawatankuasa MPKK bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh dan mesyuarat di peringkat kawasan hendaklah dilaksanakan sekurang-kurangnya dua bulan sekali.
“Mesyuarat ini amat penting dan menjadi penunjuk prestasi utama (KPI). Seperti tahun-tahun sebelum ini, elaun akan dikreditkan terus ke dalam akaun masing-masing setiap bulan.
“Bagaimanapun, untuk tahun ini, buat pertama kali, kerajaan negeri telah menetapkan syarat baharu bagi memastikan MPKK menjalankan amanah dengan sebaiknya iaitu mana-mana MPKK yang tidak menjalankan mesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali bagi separuh tahun pertama (Januari sehingga Jun), elaun berikutnya bagi Julai dan seterusnya akan disekat. Jadi, lakukanlah kerja yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Katanya, MPKK merupakan institusi penting di peringkat akar umbi yang menjadi jambatan penghubung dan pemudah cara antara kerajaan negeri dengan masyarakat kampung.
Katanya, MPKK bukan sahaja berperanan menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan, malah menjadi mata dan telinga kerajaan dalam memahami denyut nadi serta keperluan sebenar rakyat di peringkat bawahan.
“Sebarang permasalahan, aduan mahupun cadangan hendaklah dikemukakan kepada kerajaan negeri dan agensi berkaitan. Selain itu, MPKK juga berperanan membantu kerajaan negeri merancang dan melaksanakan pelan pembangunan kampung dengan penglibatan komuniti setempat menggunakan pendekatan bottom-up approach ke arah mewujudkan kampung yang maju dan sejahtera,” katanya.-UTUSAN




