Peniaga apam balik ada kilang sendiri

Peniaga apam balik ada kilang sendiri

am@hmetro.com.my

Ipoh: Pada umur 29 tahun, Abdul Aziz Ahmad sudah memiliki 20 cawangan premis menjual apam balik selain sebuah kilang hasil titik peluhnya menceburi bidang perniagaan sejak sedekad lalu.

Meskipun begitu, perjalanan Abdul Aziz tidak mudah kerana sebelum sampai ke sekarang, dia bermula sebagai tukang masak di satu kem bina diri selepas tamat persekolahan dan pernah menjadi peniaga burger dan roti John.

Bagaimanapun, Abdul Aziz beralih ke perniagaan apam balik tujuh tahun lalu selepas bapanya, Ahmad Ismail meninggal dunia dan mengenangkan perlu menyambung legasi itu.

“Saya memang minat berniaga dan suka makan burger…tengok orang berniaga macam seronok dan sebab itu cuba menjual di depan rumah sebelum sewa tapak bermodalkan wang dipinjam daripada emak (Fairus Ahmad, 59) dengan ayah, abang juga hasil jualan belut.

“Hampir empat tahun juga bertahan dan sempat masuk bazar Ramadan namun selepas ayah meninggal dunia (pada November 2019), saya terfikir alangkah baiknya sambung perniagaannya.

“Ia kerana kami adik beradik pun membesar hasil pendapatannya berniaga apam balik. Saya pun nampak potensi jadi cuba bermula dengan pasar pagi dan pasar malam kemudian di tepi jalan dan kini ada premis sendiri diberi nama Kuhot sempena nama panggilan arwah ayah,” katanya.

Abdul Aziz berkata, dia bermula dari kosong dan banyak belajar daripada pengalaman sendiri.

“Kiranya saya langgar dinding saja dan tak ada buat pinjaman bank kerana permulaan niaga pun hanya di pasar malam dan tepi jalan.

“Cabarannya modal, pusing keuntungan dan nak wujudkan prosedur operasi standard (SOP) dalam perniagaan.

“Pernah sampai satu tahap nak tersungkur melingkup tapi itu juga punca saya bangkit dan kepuasannya bila pelanggan makan, mereka kata sedap sampai datang lagi. Sebagai peniaga, kita tentunya seronok dan bersemangat nak teruskan (perniagaan),” katanya yang bersyukur kerana mendapat sokongan rakan juga keluarga terutama abangnya, Mohamad Azmi Ahmad, 41.

Di sebalik sokongan diterima, Abdul Aziz mengakui ada segelintir individu yang meragui kemampuannya sebagai usahawan muda lebih-lebih lagi kerana hanya memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Waktu awal dulu ada yang tanya sudah habis sekolah ke? Ada juga kata peniaga jalanan macam saya tak akan berjaya.

“Kadang-kadang saya menangis dan patah semangat kerana sebagai manusia biasa, saya pun ada hati juga perasaan.

“Cuma bila fikir semula, saya sedar rezeki dari Allah SWT, maka saya ambil daripada sudut positif.

“Lagipun, banyak kesusahan saya lalui dalam tempoh tiga tahun pertama malah dapat tidur empat hingga lima jam saja tapi kini keadaan bertambah baik,” katanya yang masih mengikut pesanan ibu bapanya untuk bersedekah setiap kali sebelum mula berniaga bagi mendapat keberkatan.

Berhubung hala tujunya, Abdul Aziz mahu mendapatkan sijil francais seterusnya mengembangkan lagi perniagaan di dalam dan luar negara.

“Ramadan nanti, saya akan ke Singapura untuk sertai jualan di tapak bazar Ramadan bagi memperkenalkan jenama.

“Pada masa sama, saya nak memperkukuhkan kilang dibuka pada tahun lalu yang berasaskan pengilang peralatan asal (OEM) selain kembangkan perniagaan bukan hanya untuk meraih keuntungan, tetapi beri lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top