8 maut, kedai mercun meletup

8 maut, kedai mercun meletup

Beijing: Satu letupan di sebuah kedai menjual mercun di timur China mengorbankan lapan orang dan mencederakan dua yang lain, menurut pihak berkuasa pada Ahad lalu.

Komuniti luar bandar di China sering menyalakan bunga api dan mercun roket yang mengeluarkan bunyi kuat bagi meraikan perayaan serta peristiwa penting seperti Tahun Baharu Cina yang jatuh pada hari ini.

‘Pelepasan mercun yang tidak betul’ oleh seorang atau beberapa penduduk kampung menyebabkan satu letupan di sebuah kedai berhampiran daerah Donghai, wilayah Jiangsu, kira-kira jam 2.30 petang pada 15 Februari lalu, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan di media sosial.

“Pihak pengurusan kecemasan, bomba, keselamatan awam dan kesihatan segera bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat dan tindak balas,” tambah pihak berkuasa Donghai.

Menurut kenyataan, kebakaran yang tercetus akibat letupan itu berjaya dipadamkan kira-kira 4 petang, sambil menambah lapan orang terkorban dan dua lagi mengalami cedera ringan.

Siasatan sedang dijalankan dan mereka yang bertanggungjawab sudah ditahan.

Kementerian Pengurusan Kecemasan berkata, China sedang memasuki tempoh puncak penggunaan mercun sempena cuti Tahun Baharu Cina, sambil memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan amalan tidak selamat seperti mencuba menyalakan mercun atau merokok di luar kedai.

Kementerian itu turut menyatakan ia mengeluarkan notis amaran kepada perusahaan mercun di seluruh negara yang ‘mewajibkan pemeriksaan menyeluruh’ terhadap risiko dan bahaya keselamatan.

Kemalangan industri kerap berlaku di China akibat standard keselamatan yang longgar.

Satu letupan di sebuah kilang bioteknologi di wilayah Shanxi, utara China, mengorbankan lapan orang pada bulan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top