Sophia Albarakbah meriahkan Bazar Ramadan, seronok bantu adik-beradik

Sophia Albarakbah meriahkan Bazar Ramadan, seronok bantu adik-beradik

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Sophia Albarakbah, 32, mengesahkan dia memang akan muncul berniaga di Bazar Ramadan Stadium Merdeka di sini, bersama adik-beradiknya menjual air kelapa pandan.

Menurut pemilik nama sebenar, Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman ini, walaupun tidak selalu akan turun padang berada di bazar itu kerana terikat dengan jadual berlakon tetapi dia seronok dapat membantu adik-beradik.

“Saya terfikir nak bantu kakak dan adik berniaga (di bazar Ramadan) sebab kita memang suka minum air kelapa. Tapi kebanyakan air kelapa yang jual di bazar, sudah campur gula dan air. Jadi, nak cari yang fresh (segar) agak susah.

“Selain itu, kita juga nak encourage (menggalakkan) orang ramai jadi sihat dengan mengamalkan minuman tanpa tambahan gula sebab air kelapa juga adalah minuman isotonik semulajadi.

“Banyak keistimewaan air kelapa ini, antaranya dapat bantu hidrat badan kita, bagus juga untuk diminum selepas bersukan, termasuk ketika berbuka puasa nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga persediaannya berhadapan dengan peminat atau pembeli di bazar yang begitu ramai, Sophia berkata dia tiada masalah untuk beramah mesra serta melayani pelanggan kerana sedar status diri sebagai selebriti.

“Apapun, saya tidak akan selalu berada di bazar itu. Mungkin saya akan berada di sana (bazar) sekiranya tiada shooting (penggambaran) serta mempunyai kelapangan masa untuk bantu kakak dan adik berniaga.

“Walau tahu sibuk dengan shooting, saya akan pastikan cuba berada di sana (datang ke bazar) sebanyak mungkin.Saya yakin peminat akan sokong perniagaan air kelapa pandan oleh adik-beradik saya,” katanya.

Mengulas juga kesempatan berbuka puasa bersama keluarga, Sophia berkata keluarganya sangat memahami kesibukan dia ketika bekerja dan jika ada cuti atau penggambaran habis awal, mereka pasti berkumpul bersama.

Pembabitan Sophia bersama adik-beradik perempuannya berniaga air kelapa pandan di bazar Ramadan adalah pertama kali dilakukan pelakon drama From Saga With Love itu

Terdahulu, tular di Threads berhubung kenyataan Sophia yang dia akan berniaga air kelapa pandan di Bazar Stadium Merdeka sepanjang Ramadan ini sebagai salah satu usaha mendapatkan pendapatan sampingan untuk keluarga.

Meninjau pada ruangan komen, rata-rata netizen kagum dan memberikan semangat kepada Sophia di atas tindakannya untuk muncul membantu adik-beradik berniaga air kelapa pandan di bazar Ramadan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top