Sydney: Polis Australia menemukan semula sejumlah artifak Mesir purba yang dicuri selepas menahan seorang lelaki berusia 52 tahun disyaki terbabit kejadian pecah masuk muzium.
Lelaki terbabit didakwa memecahkan tingkap Muzium Seni dan Arkeologi Abbey di bandar Caboolture, Queensland, sebelum melarikan khazanah berharga itu pada awal pagi 13 Februari lalu.
Menurut kenyataan polis, pasukan menemukan semua barangan yang dicuri kecuali sebuah arca kucing kayu yang mengalami kerosakan kecil, ketika memeriksa sebuah kenderaan di terminal feri berhampiran muzium sehari selepas kejadian.
“Suspek kejadian itu ditahan pada petang hari sama.
“Polis akan mendakwa lelaki itu yang didapati memiliki artifak terakhir yang sebelum ini hilang iaitu arca kucing kayu,” menurut kenyataan itu.
Media tempatan ABC melaporkan lelaki dikenali Miguel Simon Mungarrieta Monsalve didakwa atas beberapa pertuduhan termasuk pecah masuk dan melakukan kerosakan dengan sengaja.
Dalam prosiding mahkamah pada 16 Februari, pendakwa raya memberitahu tertuduh mencuri topeng mumia, kolar, seutas barang kemas serta arca kucing kayu, selain menyebabkan ‘kerosakan tidak boleh diperbaiki’ terhadap beberapa barangan lain.
Sementara itu, pihak muzium memaklumkan lega dan syukur kerana artifak berkenaan berjaya ditemukan semula.
Bagaimanapun, menurut muzim artifak berkenaan tidak boleh dipamerkan serta-merta.
“Setiap artifak perlu melalui penilaian profesional dan kerja pemuliharaan terlebih dahulu bagi memastikan kelestariannya untuk jangka panjang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




