am@hmetro.com.my
Kota Belud : Lima sekeluarga nyaris maut selepas kereta pacuan empat roda yang dinaiki terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter di Kampung Pituru Laut di sini, malam tadi.
Mangsa membabitkan pasangan suami isteri berusia 44 dan 40 tahun serta tiga anak mereka berusia empat hingga 10 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.01 malam.
Katanya, seramai lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat lima mangsa terbabit dalam kemalangan kereta jenis Isuzu D-Max itu.
“Kesemua mangsa terdiri daripada satu keluarga itu berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa didapati cedera dan anggota EMRS kemudian bertindak memberi rawatan awal sebelum dihantar menaiki kenderaan EMRS ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut.
“Punca kejadian masih dalam siasatan manakala operasi ditamatkan pada jam 9.07 malam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




