Peniaga haram cemari keindahan ikonik Bangunan Sultan Abdul Samad

Peniaga haram cemari keindahan ikonik Bangunan Sultan Abdul Samad

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kehadiran peniaga haram di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad mencacatkan keindahan bangunan ikonik yang baru saja dibuka pada 2 Februari lalu.

Dengan pengubahsuaian dan pemuliharaan dijalankan, bangunan itu tampak bersih, segar hingga mendapat pujian ramai warga tempat dan pelancong luar.

Beberapa klip video memperlihatkan kawasan dekat Dataran Merdeka itu tidak ubah seperti suasana pasar malam dengan deretan meja menjual air balang serta makanan mirip Indonesia (Ramia Cilok Sup) dengan ramai singgah membeli.

Menerusi video itu, jelas kelihatan ramai peniaga ‘berani’membuka gerai di kawasan yang jelas bukan zon berniaga dan bilangan semakin bertambah hingga mewujudkan seolah-olah gerai yang dibenarkan.

Daripada komen di video, ramai percaya peniaganya golongan pendatang daripada gerai jualan makanan sunda yang dikenali sebagai cilok.

Aktiviti perniagaan itu sekali gus mencalarkan kerancakan Tahun Melawat Malaysia bagi kawasan ikonik Dataran Merdeka yang bersih, indah dan mempesona.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, berkata Dataran Merdeka termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad adalah kawasan larangan menjaja dan tidak dibenarkan aktiviti perniagaan.

“Dataran Merdeka sememangnya kawasan larangan menjaja. Tindakan telah diambil untuk tidak membenarkan peniaga berniaga di situ.

“Dua sitaan telah dibuat dan DBKL akan meningkatkan kawalan di Dataran Merdeka bagi mengawal aktiviti berniaga,” katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, timbul persoalan berhubung tindakan penguatkuasaan yang diambil selepas tular video yang memperlihatkan aktiviti perniagaan dengan deretan air balang serta orang ramai membeli jualan tidak ubah keadaan seperti suasana pasar malam.

Gerai perniagaan juga kelihatan kemas dengan alas meja seragam dengan susunan mejanya yang teratur.

Dataran Merdeka khususnya Bangunan Sultan Abdul Samad antara lokasi tumpuan pelancong dan mempunyai nilai sejarah tinggi yang tertakluk kepada peraturan ketat pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kebersihan, keselamatan dan imej bandar raya terus terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top