Jenazah Ahmad Badrul Naim selamat dikebumikan

Jenazah Ahmad Badrul Naim selamat dikebumikan

am@hmetro.com.my

Pasir Puteh: Anggota bomba yang lemas di Pantai Kandis di Bachok selamat dikebumikan jam 8.10 malam ini.

Jenazah Ahmad Badrul Naim Abdul Wahab, 32 turut dibantu diuruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Pasir Puteh di Tanah Perkuburan Islam Mukim Sri Gedombak, Limbongan di sini.

Terdahulu solat jenazah dilaksanakan di Masjid Solihiah Kampung Jerat Semata, kampung ibu bapa anggota bomba itu.

Hadir sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar.

Hari ini, Harian Metro melaporkan mayat Ahmad Badrul Naim Abdul ditemukan di Chalet Pantai D’Aur kira-kira 3.2 kilometer daripada lokasi mangsa lemas.

Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan anggota bomba yang bertugas dalam Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamatan Malaysia (STORM) dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Pulau Pinang itu lemas selepas cuba menyelamatkan adiknya, Ahmad Nurruddin Abdul Wahab, 21, yang turut lemas ketika mandi di Pantai Kandis dalam kejadian jam 5.30 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, setakat ini mangsa kedua iaitu adik anggota bomba berkenaan masih belum ditemui.

Katanya, usaha pencarian diteruskan esok membabitkan bomba Pasukan Penyelamat Di Air dan anggota BBP Bachok bersama agensi penyelamat yang lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top