am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Di sebalik kemeriahan Ramadan yang bakal disambut malam ini dengan solat tarawih pertama, dua keluarga di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini hanya mampu memandang kosong sisa arang yang suatu ketika dulu menjadi tempat mereka berteduh.
Keterujaan menyambut bulan penuh rahmat itu bertukar menjadi detik paling menyayat hati apabila rumah mereka antara lima yang musnah dalam kebakaran, petang tadi.
Bagi Sadiah Abdulah, 42, yang juga ibu tunggal, Ramadan tahun ini hadir dalam suasana yang tidak pernah dibayangkan.
Katanya, ketika api marak memusnahkan rumahnya, dia sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Kota Kinabalu sebelum menerima panggilan cemas daripada anak lelakinya berusia 15 tahun.
“Waktu itu empat anak saya ada di rumah. Bila sampai, rumah sudah habis terbakar. Tidak ada apa yang tinggal… cuma beberapa dokumen dan pakaian saja,” katanya sambil menahan sebak.
Sadiah kini bersama anaknya berusia 15, 14, 13 dan 12 tahun berlindung sementara di Balai Raya Kampung Tanjung Aru.
“Tahun ini kami sambut Ramadan ala kadar saja. Mahu sediakan sahur pun tak ada apa. Semua sudah musnah,” katanya perlahan.
Seorang lagi mangsa, Basri Nasir, 39, yang bekerja sebagai penghantar makanan, berkata dia sedang berehat selepas bekerja sebelum terdengar jeritan orang ramai memaklumkan kebakaran.
“Kami cuma sempat capai dokumen dan beberapa pakaian sebelum keluar. Semua persiapan sahur esok habis terbakar, termasuk peralatan dapur,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Hannis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.54 petang membabitkan kebakaran lima rumah yang musnah sepenuhnya.
Katanya, seramai 23 anggota BBP Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai dan tiba empat minit kemudian.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




