Lelaki dikhuatiri lemas jatuh jeti

Lelaki dikhuatiri lemas jatuh jeti

am@hmetro.com.my

Kuching: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika memunggah hasil tangkapan di Belawai dalam Bahagian Mukah, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Sabarudin Awang Kamarudin, 48, dilaporkan terjatuh dari jeti dalam kejadian yang berlaku lewar petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 5.03 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan itu.

“Enam anggota bomba tiba di lokasi pada jam 5.55 petang selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 21 kilometer.

“Berdasarkan keterangan saksi, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam air semasa sedang memunggah hasil tangkapan di jeti berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa dikatakan hilang dari pandangan dalam keadaan air pasang sebelum usaha menyelamat oleh orang awam tidak berhasil.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan oleh pasukan BBP Tanjung Manis sejurus tiba di lokasi.

“Tindakan awal yang dijalankan dengan melaksanakan pencarian di permukaan air bersama agensi lain serta penduduk kampung bagi mengesan sebarang petunjuk.

“Operasi pencarian tertumpu di sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang dan setakat jam 6.30 petang ini mangsa masih belum ditemui,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top