am@hmetro.com.my
Kajang: Seramai 12 anggota polis termasuk empat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan kerana disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto daripada sekumpulan warga China.
Mereka yang ditahan masing-masing seorang berpangkat Asisten Superintendan, Inspektor, sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.
Mereka diberkas dalam beberapa tangkapan bersepadu oleh pasukan khas dari ibu pejabat polis daerah dalam tempoh dua hari.
Penahanan dibuat susulan laporan polis dibuat seorang juru ukur pasaran warga China berusia 31 tahun yang mendakwa dia dan tujuh rakannya dipaksa memindahkan mata wang kripto bagi mendapatkan pembebasan selepas banglo yang disewa mereka di kawasan berpagar di Country Heights, Kajang diserbu polis.
Sumber berkata, sepasukan pegawai daripada unit jenayah komersial daerah menyerbu banglo dua tingkat itu pada jam 11.10 malam, 5 Februari lalu kerana mengesyaki penghuninya menjalankan operasi penipuan.
Katanya, pegawai terbabit memaklumkan, mereka menjalankan operasi anti-penipuan dikenali sebagai ‘Op Taring’ dan mengesyaki penghuni rumah itu terbabit kegiatan penipuan secara dalam talian yang dikaitkan dengan sindiket di Kemboja.
“Selepas memeriksa peranti elektronik dan pasport mereka, tiada bukti kegiatan jenayah ditemui.
“Tiada rekod juga menunjukkan pengadu dan rakannya pernah ke Kemboja,” kata sumber itu kepada New Straits Times.
Sumber berkata, kumpulan itu memaklumkan kepada polis mereka adalah juru ukur pasaran yang bekerja dengan sebuah syarikat berpangkalan di China, namun mangsa didakwa diugut akan ditahan dan dikenakan tindakan imigresen kecuali membayar RM400,000 kepada polis terbabit.
Katanya, bimbang keselamatan diri terutama kerana terdapat tiga wanita dalam kumpulan itu, seorang daripada mangsa menghubungi majikannya di China.
“Selepas rundingan, suspek didakwa bersetuju menerima bayaran 50,000 USDT (mata wang kripto tether), yang dipindahkan ke alamat dompet kripto diberikan suspek.
“Bayaran dibuat pada awal pagi dan hanya selepas transaksi disahkan, barulah pegawai polis itu meninggalkan premis,” dakwa sumber.
Sumber berkata, sebelum beredar, suspek turut didakwa mengarahkan kumpulan itu mengosongkan rumah dalam tempoh dua hari atau berdepan tindakan lanjut.
Katanya, siasatan awal kes itu membawa kepada penahanan tujuh anggota polis dari unit JSJK dan pencegahan jenayah daerah.
“Mereka termasuk pegawai dan anggota dengan tempoh perkhidmatan antara dua hingga 27 tahun, memegang jawatan seperti Inspektor, sarjan dan koperal yang bertugas menjalankan risikan dan operasi.
“Siasatan lanjut dan risikan mendedahkan pembabitan lima lagi anggota polis termasuk empat yang bertugas di unit siber dan forensik digital di JSJK Bukit Aman,” katanya.
Sumber berkata, keempat-empat mereka berusia antara 35 hingga 44 tahun yang berkhidmat antara enam hingga 22 tahun dan memegang jawatan dalam unit taktikal siber serta siasatan forensik digital ditahan dalam operasi susulan pada 8 Februari lalu.
Katanya, semua 12 suspek dipercayai berada di lokasi ketika operasi di rumah itu dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan.
“Polis turut merampas beberapa telefon bimbit pelbagai jenama, kad SIM dan dokumen yang dipercayai berkaitan operasi berkenaan.
“Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kajang dan Bandar Baru Bangi bagi membantu siasatan, termasuk menjejak transaksi mata wang kripto berkenaan.
“Tempoh reman kedua-dua kumpulan suspek dilaporkan dilanjutkan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan,” katanya.
Sumber berkata, siasatan masih diteruskan dan polis memandang serius dakwaan berkenaan.
New Straits Times cuba menghubungi Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar dan Ketua Polis Selangor, Datuk Sazalee Kahar untuk mendapatkan maklum balas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




