am@hmetro.com.my
Bachok: Jenazah adik anggota bomba yang lemas di Pantai Kandis akhirnya ditemui terdampar di lokasi sama abangnya ditemui iaitu di Pantai D’Aur, awal pagi ini.
Mangsa, Ahmad Nurruddin Abdul Wahab, 21, ditemui orang awam sebelum melaporkan penemuan kepada polis jam 7.10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat lelaki dianggarkan berusia 20-an.
“Pengecaman dibuat oleh bapa mangsa dan dia mengesahkan itu adalah anaknya.
“Daripada sudut pengesahan kematian, pihak unit kesihatan Klinik Kesihatan Bachok hadir ke lokasi dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Pantai D’Aur, hari ini.
Mohamad Ismail berkata, lokasi mayat ditemui dengan tempat dia dilaporkan hilang adalah pada jarak kira-kira 3.5 kilometer.
Beliau berkata, penemuan itu juga pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi mayat abangnya yang juga anggota bomba, Ahmad Badrul Abdul Wahab, 32 dijumpai pada jam 12.52 tengah hari semalam.
Katanya, dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat serta pos kawalan ditutup jam 9.30 pagi selepas kerja pentadbiran di lokasi selepas sepenuhnya.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk bedah siasat.
Sementara itu, pencari kulit sotong yang juga saksi yang menemui mayat, Mohd Naim Abdul Rahman, 45, berkata, ketika kejadian dia sedang mencari kulit sotong di pesisir Pantai D’Aur sebelum ternampak badan manusia di gigi air pantai.
Katanya, dia yang ketakutan terus berlari ke arah chalet berdekatan dan meminta pemilik chalet melaporkan kejadian kepada polis.
“Saya nampak lelaki terdampar di pantai, bila toleh ke belakang, saya terbayang dia seperti bangun dan meminta tolong, jadi saya takut dan lari, selepas itu saya beritahu pemilik chalet,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kegembiraan 20 ahli keluarga dari Pasir Puteh berkelah di Pantai Kandis, muara Sungai Gali bertukar tragedi apabila dua ahli keluarga lemas dalam kejadian pada 5.30 petang, Selasa lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




