am@hmetro.com.my
Pelabuhan Klang: Sejumlah 186,737 kilogram (kg) sampah elektronik dari Kanada, Sepanyol dan Croatia bernilai RM2,152,476 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang dalam operasi di Pelabuhan Utara, awal Februari lalu.
Pengarah Kastam Pahang, Mohd Asri Seman berkata, kejayaan itu adalah kerjasama pasukannya dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor yang menahan lapan kontena di CP-Hold Yard, Pelabuhan Utara kira-kira jam 11 pagi pada 3 Februari lalu.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati komoditi barangan terbabit adalah sisa elektronik (e-waste) dipercayai diimport tanpa Permit Import serta dibuat pengikraran dagangan import secara tidak betul dalam borang pengikraran.
“Rampasan e-waste yang terdiri daripada sampah bercampur wayar, kabel dan komponen komputer dengan anggaran berat keseluruhan sebanyak 186,737 kg serta bernilai dianggarkan RM2,152,476.
“Siasatan mendapati lima kontena dari Kanada, dua dari Sepanyol dan sebuah dari Croatia,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.
Mohd Asri berkata, pengimportan barangan e-waste adalah larangan bersyarat kecuali mengikut cara yang diperuntukkan di Bawah Butiran 54, Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang memerlukan kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.
“Siasatan mendapati, pihak terbabit membuat pengikraran tidak benar dalam borang pengikraran dengan mengikrarkan dagangan sebagai Copper Concentrate bagi mengelakkan keperluan Permit Import daripada Jabatan Alam Sekitar.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Ditanya sama ada menjadi amalan biasa dalam pasukan JKDM menjalankan operasi serbuan rentas negeri, beliau menjelaskan kes rampasan yang didedahkan hari ini adalah maklumat yang diterima oleh JKDM Pahang.
“Bagi Bahagian Penguatkuasaan JKDM, kita tidak ada sempadan, mana-mana bahagian penguatkuasaan di seluruh negara, sekiranya kita mendapat maklumat, bahagian penguatkuasaan negeri berkenaan boleh mengambil tindakan.
“Contohnya (JKDM) Selangor, boleh mengambil tindakan terhadap apa-apa aktiviti haram atau penyeludupan di Pahang ataupun di Kedah dan mana-mana negeri (sekiranya menerima maklumat).
“Apabila terima maklumat, ini satu polisi yang dibuat oleh JKDM untuk mengekalkan maklumat itu supaya tidak bocor. Maksudnya kalau Pahang dapat maklumat, Pahang perlu kendalikan kes berkenaan sehingga ke pendakwaan di mahkamah walaupun kes di Selangor,” katanya.
Pada masa sama, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti terbabit.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“KDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



