Hospital Columbia Asia raikan bayi Tahun Baharu Cina dengan emas

Hospital Columbia Asia raikan bayi Tahun Baharu Cina dengan emas

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua bayi lelaki yang dilahirkan pada hari pertama Tahun Baharu Cina di Columbia Asia menerima hadiah emas sebagai simbol tuah dan permulaan baharu sempena sambutan perayaan itu.

Lebih bermakna, bayi terawal yang dilahirkan pada jam 12.21 tengah hari di Hospital Columbia Asia Setapak menerima 1 Dinar 999.9 Fine Gold Coin serta jongkong emas 999.9 seberat dua gram (g).

Difahamkan, bayi lelaki itu adalah cahaya mata kepada pasangan berasal dari Pakistan yang menetap di Malaysia, Zohaib Haider dan isterinya, Neelam Zohaib.

Sementara itu, sebuah lagi hospital kumpulan berkenaan di Columbia Asia Hospital Tebrau turut meraikan kelahiran bayi lelaki pada hari sama.

Bayi berkenaan adalah anak pertama kepada pasangan Yogeswaran Reganaddan dan Cheah Chie San, dilahirkan pada jam 5.39 petang.

Ahli Asia One Healthcare, Kumpulan Hospital Colombia Asia dalam kenyataan berkata, bagi meraikan detik istimewa itu, hospital menghadiahkan gelang kaki emas 916 kepada bayi terbabit sebagai simbol tuah dan kesejahteraan.

Katanya, menjadi kebiasaan masyarakat Cina di Malaysia menghadiahkan emas kepada bayi yang baru lahir.

Menurutnya, hadiah berkenaan juga adalah cenderahati sempena ulang tahun ke-30 Colombia Asia sejak penubuhannya pada 1996.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi hospital berkenaan, Dr Sudha Kumari Hem Raj Shastri berkata, kelahiran pada tahun baharu melambangkan permulaan indah dan penuh harapan.

“Columbia Asia Hospital Setapak berasa gembira dengan kelahiran bayi pertama Columbia Asia pada Tahun Baharu Cina. Bayi yang lahir pada tahun baharu menjadi simbol permulaan yang indah,” katanya.

Sempena ulang tahun itu, kumpulan hospital berkenaan menawarkan promosi khas untuk wanita dan kanak-kanak sehingga 31 Mac 2026 membabitkan Pakej Vaksinasi Pranatal, Pakej Bersalin dan Pakej Vaksinasi Pediatrik.

Ditubuhkan pada 1996, Columbia Asia kini terus komited menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses, dipercayai dan berkualiti tinggi kepada komuniti di seluruh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top