Lebur plastik secara haram, kilang diserbu kali kedua

Lebur plastik secara haram, kilang diserbu kali kedua

am@hmetro.com.my

Seremban: Sebuah kilang di Senawang, di sini, yang baru sahaja diserbu pihak berkuasa pada Oktober tahun lalu kerana menjalankan aktiviti peleburan plastik secara haram didapati masih aktif melakukan kegiatan sama.

Dalam serbuan terbaharu pada 16 Februari lalu, pihak berkuasa merampas 115 tan metrik bahan karbon hitam hancur (HPA) dianggarkan bernilai RM557,000.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, turut disita tiga mesin penghancur plastik menjadikan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.9 juta.

“Bertindak atas maklumat Ops Hazard E-waste, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Kontinjen Negeri Sembilan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan melancarkan operasi berkenaan.

“Maklumat yang diterima membabitkan kegiatan sisa elektronik tanpa kelulusan pihak berkuasa. Bagaimanapun hasil serbuan menemui 115 tan HPA yang dianggarkan bernilai RM577,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan 12 warga asing yang disyaki bekerja dan tinggal di premis berkenaan serta tidak mempunyai dokumen yang sah.

“Mereka terdiri daripada lapan lelaki warga Myanmar, tiga lelaki Bangladesh dan seorang wanita China. Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati premis itu tidak menjalankan kegiatan memproses sisa elektronik, sebaliknya beroperasi meleburkan plastik sehingga menyebabkan aduan pencemaran bau daripada penduduk berdekatan.

“Kesalahan pertama, terdapat kesalahan alam sekitar iaitu beroperasi tanpa surat pemakluman mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

“Bagi kesalahan kedua, menjalankan aktiviti basuhan sisa plastik tanpa sistem pengolahan efluen perindustrian mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

“Pihak JAS mengeluarkan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan mengarahkan premis menghentikan operasi serta merta selain akan memaklumkan kepada Majlis Bandaraya Seremban kerana menjalankan operasi bertentangan dengan permit yang dikeluarkan,” katanya.

Alzafny berkata, pemilik premis yang juga warga tempatan berusia 60-an tidak hadir ketika operasi dijalankan dan akan dipanggil JAS untuk siasatan lanjut.

“Sekiranya gagal hadir, waran akan dipohon bagi memastikan kehadirannya.

“Semakan mendapati premis itu pernah dikenakan tindakan sama pada Oktober lalu, namun dikesan masih menjalankan operasi sama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top