hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Multiracial Reverted Muslims (MRM) menegaskan pihaknya sentiasa menghormati dan mendaulatkan undang-undang susulan tindakan penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap aktiviti Street Dakwah.
Pengerusinya, Muhammad Azim Abdullah Suhaimin berkata, MRM tidak memanipulasi isu berkenaan menjadi polemik perkauman atau agama, sebaliknya hanya mahu penjelasan terhadap beberapa percanggahan fakta yang timbul.
“MRM menghormati undang-undang. Kami tidak memainkan naratif mangsa, tetapi kami berhak mempertahankan integriti organisasi apabila kenyataan yang dikeluarkan tidak selari dengan fakta di lokasi.
“Sejak awal penganjuran Street Dakwah, kami sudah mengambil langkah proaktif dengan mendapatkan kepastian daripada Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL mengenai keperluan lesen.
“Jawapan yang diberikan ketika itu jelas iaitu tiada lesen diperlukan kerana tiada urusan perniagaan dijalankan. Aktiviti dijalankan di ruang awam dan bukan di dalam premis perniagaan,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, DBKL mengambil tindakan menurunkan khemah yang dipasang di laluan pejalan kaki oleh MRM di Jalan Bukit Bintang berhadapan Bangunan Yayasan Selangor, selepas didapati melanggar peraturan.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan di lokasi mendapati berlaku pelanggaran peraturan membabitkan pemasangan khemah di laluan awam yang sepatutnya sentiasa bebas daripada sebarang halangan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai.
Muhammad Azim berkata, sepanjang 14 tahun Street Dakwah dijalankan, tiada larangan rasmi atau kompaun pernah dikenakan terhadap MRM termasuk pada hari kejadian barang-barang dakwah disita.
Mengulas dakwaan bahawa reruai menghalang laluan awam, beliau menjelaskan lokasi berkenaan adalah kawasan sama yang digunakan oleh kumpulan buskers hampir setiap hari selepas aktiviti tamat, malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan turut menyertai program santai di lokasi sama pada 30 Januari 2026.
“Jika benar lokasi itu dikategorikan sebagai menghalang laluan, maka penguatkuasaan perlu dibuat secara konsisten dan menyeluruh. MRM tidak memohon layanan istimewa, kami hanya menuntut konsistensi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



