Ahli gabungan kena berani buat pilihan – Irwan

Ahli gabungan kena berani buat pilihan – Irwan

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan The Real Warriors (TRW), Datuk Mohd Irwan Rizal berpandangan ‘orang politik’ tidak seharusnya diketepikan dalam ekosistem bola sepak negara.

Katanya, setiap individu tidak kira status dan pangkat mempunyai keupayaan dan kelebihan untuk menyumbang sesuatu kepada bola sepak negara khususnya dalam menguruskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jelas Mohd Irwan, meskipun wujud pandangan serong segelintir pihak yang mendakwa orang politik dikaitkan dengan unsur rasuah, namun baginya tidak semua melakukan perkara itu.

Menurutnya, ahli gabungan FAM perlu bijak memberi pencalonan kepada tokoh politik yang tepat bagi memastikan kelestarian dan kestabilan arena bola sepak dalam keadaan baik.

“Jangan lupa, kita pernah ada orang politik dalam FAM yang banyak menyumbang termasuk Perdana Menteri pertama Malaysia dulu.

“Jangan pukul rata, masing-masing ada kelebihan untuk menyumbang. Ada yang cakap, pemimpin politik tak boleh. Pemimpin politik rasuahlah, apa-apa semua.

“Janganlah pilih yang rasuah. Siapa suruh pilih yang rasuah? Atau terpalit dengan skandal. Mungkin mereka (ahli politik) tidak mahu menawarkan diri, bukan kerana tidak minat, tetapi kerana badan gabungan sendiri yang harus mencalonkan mereka.

“Ahli gabungan boleh buat kaji selidik yang mana ada potensi. Janganlah buat kaji selidik berdasarkan populariti sahaja,” katanya.

Terdahulu, kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bagi penggal 2025–2029 secara kolektif dan sukarela meletakkan jawatan mereka dengan serta-merta bagi memberi laluan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersama sekretariat FAM melakukan bedah siasat dan penilaian terhadap urus tadbir FAM susulan skandal pemalsuan dokumen babitkan tujuh pemain negara.

Pemilihan baharu Exco FAM dijangka berlangsung pada pertengahan tahun ini pada Mei atau Jun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top