Kos bahan mentah meningkat, peniaga bazar Ramadan terpaksa naikkan harga

Kos bahan mentah meningkat, peniaga bazar Ramadan terpaksa naikkan harga

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV kembali meriah dengan kehadiran pengunjung hari ini bersempena hari pertama Ramadan.

Tinjauan di bazar berkenaan mendapati sebahagian peniaga makanan terpaksa menaikkan harga beberapa juadah di antara RM0.50 hingga RM2 berikutan peningkatan kos bahan mentah.

Peniaga lauk pauk, Norhasuzi Othman, 46, berkata, kenaikan harga santan yang mencecah sehingga RM15 sekilogram menyebabkan harga gulai kawah yang dijual terpaksa dinaikkan sebanyak RM2.

“Harga gulai kawah yang dijual pada tahun ini adalah di antara RM12 hingga RM15 sebekas berbanding hanya RM10 pada tahun lalu.

“Walaupun berlaku kenaikan harga, kebanyakan pelanggan tetap, khususnya yang menggemari gulai kawah masih menjadikan gerai saya sebagai pilihan untuk mendapatkan juadah berkenaan,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.

Manakala peniaga kuih tradisional, Abdul Rahman Abdul Aziz, 37, berkata, kenaikan harga bahan mentah terutamanya telur memberi kesan kepadanya yang sudah lebih 10 tahun mengusahakan perniagaan kuih muih tradisional.

“Di bazar ini saya menjual lebih 20 jenis kuih muih tradsional dan ada di antaranya yang terpaksa dinaikkan harga sekitar RM1 hingga RM2 berbanding tahun lalu.

“Antara kuih yang mengalami kenaikan harga temasuklah jala emas, nekbat, tahi itik dan buah tanjung yang kini dijual RM6 sebekas.

“Walaupun berdepan kenaikan kos bahan mentah, saya cuba bertahan dengan margin keuntungan minimum kerana bimbang pelanggan akan beralih ke gerai lain sekiranya harga kuih yang dijual dinaikkan terlalu tinggi,” katanya.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Ahmad Naime Muhammad, 42, berkata, harga makanan yang dijual di bazar berkenaan pada tahun ini tidak menunjukkan kenaikan ketara berbanding tahun lalu.

“Kalau ikutkan, harga makanan di bazar pada tahun ini sama sahaja seperti tahun lepas, namun jika mahu dibandingkan dengan dua atau tiga tahun lepas, memang ada perbezaan kerana dahulu makanan dijual lebih murah.

“Setiap kali berlaku kenaikan harga jualan di bazar, ia pasti memberi kesan kepada pelanggan terutama mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan keluarga yang ramai,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Naime mengakui bazar Ramadan tetap menjadi pilihan utama setiap kali menjelang waktu berbuka disebabkan menawarkan pelbagai pilihan juadah yang sesetengahnya yang muncul pada Ramadan sahaja.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top