am@hmerro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bekas Pegawai SPRM (PBPSPRM) memandang serius kenyataan umum yang dipolemikkan oleh pihak tertentu demi kepentingan peribadi berhubung isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
PBPSPRM dalam kenyataan berkata, sebagai pertubuhan yang menghimpun bekas pegawai yang pernah berkhidmat dalam institusi itu, pihaknya memahami tatacara dalaman, mekanisme semak dan imbang, serta proses siasatan yang dilaksanakan dalam setiap kes.
Menurutnya, justeru pihaknya menegaskan sebarang serangan ‘liar’ terhadap mana-mana pegawai dan institusi SPRM, termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM tertakluk kepada proses penelitian dan siasatan yang sewajarnya oleh pihak berautoriti.
“PBPSPRM menyokong tindakan kerajaan yang menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti isu berkenaan secara bebas dan telus. Kita perlu memberi ruang dan masa kepada proses itu berjalan tanpa prejudis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, pemilikan saham oleh pegawai awam bukan satu kesalahan jenayah kolar putih sebaliknya ia hanya membabitkan isu pentadbiran, ia tertakluk kepada pengisytiharan aset dan had tertentu pemilikan saham berkenaan berdasarkan Garis Panduan Perkhidmatan Awam.
Menurutnya, pengisytiharan aset pegawai awam hanya dibuat kepada pegawai tertinggi dan bukannya untuk tatapan pihak umum dan dalam kes ini, Azam memberitahu pegangan itu sudah diisytiharkan melalui saluran rasmi kerajaan dan kini dilupuskan.
“Wajar kita menunggu dapatan hasil siasatan melalui panel siasatan yang dibentuk. Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan Tan Sri Azam terbabit penyalahgunaan kuasa, campur tangan dalam siasatan atau memperoleh keuntungan melalui kedudukan rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.
Kenyataan itu berkata, institusi antirasuah adalah tulang belakang keyakinan pelabur, kestabilan ekonomi dan kepercayaan rakyat di mana kita perlu berhati-hati agar perbahasan awam tidak melemahkan institusi ini secara tidak sengaja.
Menurutnya, pihaknya berpendapat pendekatan matang dalam kalangan masyarakat umum dengan menyokong siasatan bebas serta menghormati proses siasatan oleh panel bebas berdasarkan peraturan dan undang-undang amat penting dan perlu disegarakan.
“Pada masa sama, kita perlu elakkan dan jangan membuat kesimpulan awal untuk menjatuhkan sebarang bentuk hukuman.
“PBPSPRM berpandangan SPRM harus terus berfungsi sebagai sebuah institusi bebas dan profesional dalam memerangi rasuah tanpa tekanan politik atau persepsi dibentuk melalui polemik media.
“Kritikan adalah sebahagian daripada amalan demokrasi, namun ia seharusnya berlandaskan fakta dan menghormati proses undang-undang,” katanya.
PBPSPRM berkata, integriti pegawai SPRM yang bertugas perlu dipertahankan daripada sebarang bentuk tohmahan tidak berasas dan kita memerlukan institusi yang kuat dan berdiri atas asas keadilan, bukan persepsi semata-mata.
“Ketika negara memerlukan komitmen berterusan dalam membanteras rasuah seperti yang dianjurkan Malaysia Madani, tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh sistem dan bukan melemahkan institusi melalui serangan ‘liar’ tidak berasas.
“Kami juga menyeru masyarakat tidak terperangkap dengan naratif politik yang cuba dibawa oleh pihak tertentu. Sebaliknya, kita harus menilai isu ini secara rasional dan memberi kepercayaan kepada proses undang-undang yang sedang berlangsung,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




