Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, menegaskan dakwaan dua kes rasuah yang dikaitkan dengannya adalah fitnah yang direka oleh pihak yang terdesak.
Menurut Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengemukakan sebarang bukti berhubung tuduhan tersebut.
“Satu bukti pun tidak ada tetapi beriya-iya dijaja jadi bahan berita. Ini masalahnya apabila ada pihak yang terdesak menggunakan fitnah,” katanya melalui laman sosial Facebook hari ini.

Rafizi bidas dakwaan
Rafizi merujuk kepada dua projek besar yang dikaitkan dengannya iaitu perjanjian negara dengan ARM, syarikat cip semikonduktor antarabangsa, dan projek solar terbesar 750 MW oleh UEM Lestra.
Dalam kedua-dua kes itu, beliau didakwa menerima nilai rasuah RM3.6 bilion, jauh melebihi jumlah yang dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (RM2.3 bilion).

Artikel lain: Rafizi yakin tidak terlibat salah laku, dakwa siasatan SPRM cubaan intimidasi
Beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak masuk akal dan sebahagian daripada skrip fitnah yang dibangunkan tanpa pertimbangan realiti.

“Oleh kerana tidak ada cerita, maka cerita yang dibuat itu perlu diperbesar-besarkan supaya nampak teruk, lama-lama jadi overkill.
“Kami yang GenX ke atas ni dah melalui semua ini zaman reformasi dahulu fitnah yang menjadi overkill,” katanya merujuk pengalaman beliau ketika membela Anwar Ibrahim.
Tegas beliau, malangnya fitnah sebegini kini dibenarkan tersebar termasuk oleh penyokong pemimpin yang beliau sendiri tidak senangi.
“Benarlah manusia ini mudah lupa,” tambahnya.
Sumber: FB Rafizi Ramli




