hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Rata-rata pengunjung bazar Ramadan yang ditemui Harian Metro mementingkan aspek kebersihan, lokasi yang strategik, kemudahan parkir serta harga berpatutan ketika membeli juadah berbuka puasa.
Tinjauan Harian Metro di dua bazar Ramadan, masing-masing di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan Presint 3, Putrajaya, mendapati peniaga turut memberi penekanan terhadap kebersihan ketika menyediakan makanan untuk pelanggan.
Ketika meninjau bazar Ramadan di Kampung Baru, didapati pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada di sekitar tapak perniagaan bagi memastikan peniaga menjalankan operasi mengikut peraturan yang ditetapkan.
Pengunjung, Zalida Ahmad Tamam, 50, berkata beliau gemar mengunjungi bazar Ramadan di Kampung Baru kerana menawarkan pelbagai pilihan makanan selain lokasinya yang strategik.
“Antara perkara yang amat saya ambil berat ketika berbelanja di bazar Ramadan ialah tahap kebersihan makanan yang disediakan serta kemudahan untuk meletakkan kenderaan.
“Bagi saya, bazar Ramadan di Kampung Baru ini unik kerana hampir semua jenis makanan ada dijual di sini,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.
Sementara itu, bazar Ramadan di Presint 3, Putrajaya turut mendapat perhatian ramai, khususnya dalam kalangan kakitangan awam. Difahamkan, bazar berkenaan menempatkan 291 gerai yang menawarkan pelbagai jenis juadah berbuka puasa dan mula beroperasi seawal jam 3 petang.
Tinjauan di lokasi mendapati penguat kuasa Kesihatan Perbadanan Putrajaya turut melakukan pemantauan terhadap penyediaan makanan oleh peniaga.
Seorang pengunjung, Muhammad Syafiq Norain, 29, berkata beliau berpuas hati dengan harga makanan yang ditawarkan di bazar tersebut.
“Selain harga yang berpatutan, saya juga mementingkan kedudukan gerai yang tidak terlalu rapat kerana ia memberi keselesaan kepada pengunjung untuk berjalan dan membeli makanan.
“Dari segi kebersihan pula, saya berpuas hati kerana kebanyakan peniaga memakai sarung tangan ketika mengendalikan makanan,” katanya.
Sementara itu, peniaga taufufa, Fatin Fazlin Idris, 34, yang sudah memasuki tahun kedua berniaga di bazar berkenaan, berkata sambutan pelanggan pada hari pertama amat menggalakkan.
“Dari segi harga, saya tidak menaikkan harga dan masih mengekalkannya seperti tahun lalu. Selain itu, saya memastikan makanan yang dijual tidak disimpan untuk dijual pada hari berikutnya kerana kualiti makanan amat saya utamakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




