APM bantu pindahkan pesakit 300kg ke HSNZ guna lori

APM bantu pindahkan pesakit 300kg ke HSNZ guna lori

Jertih: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut hari ini berjaya memindahkan seorang pesakit yang memiliki berat lebih 300 kilogram (kg) dari Hospital Besut di sini ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapten (PA) Mohd Fazlien Jaafar berkata, lelaki berusia 28 tahun itu berdepan kesukaran untuk dibawa menaiki ambulans atau kenderaan biasa berikutan saiz badannya, menyebabkan pihaknya menggunakan lori APM.

“APM menerima panggilan kecemasan daripada pihak hospital pagi tadi meminta bantuan khidmat khas membawa pesakit yang terpaksa ditidurkan tersebut ke HSNZ.

“Semalam kami (APM) telah membawa pesakit yang sama dari rumahnya di Kampung Padang Luas ke Hospital Besut dengan lori sama, dan hari ini pesakit itu terpaksa dirujuk pula ke HSNZ,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata lima anggota APM Besut bersama sebuah lori terlibat dalam operasi sekitar 12 tengah hari tadi.

Mohd Fazlien berkata, lori yang membawa pesakit dengan diiringi pegawai perubatan dan beberapa petugas Hospital Besut itu selamat sampai di HSNZ pada 2.30 petang tadi.

Sementara itu, abang pesakit, Muhamad Shafik Juraimi, 33, berkata adiknya Muhammad Azrol Haffiz, 28, dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Besut kira-kira 8 malam tadi kerana terdapat jangkitan pada kakinya.

“Pada mulanya kami hubungi ambulans tetapi apabila ambulans sampai didapati adik saya yang ketika itu sedar dan boleh berjalan dengan bantuan tidak dapat masuk ke dalam kenderaan tersebut kerana keadaan fizikalnya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Kecemasan Hospital Besut di sini hari ini.

Muhamad Shafik berkata, berat badan adiknya yang masih bujang itu meningkat secara mendadak sejak awal tahun lepas selepas kakinya membengkak.

Katanya, makluman daripada pegawai perubatan, Muhammad Azrol Haffiz yang bekerja di syarikat swasta, terpaksa dirujuk ke HSNZ kerana berlaku jangkitan kuman dalam darah dan terpaksa ditidurkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top