Syukur dapat bantu suri rumah tuntut nafkah mutaah RM1.5 juta

Syukur dapat bantu suri rumah tuntut nafkah mutaah RM1.5 juta

asyikin.mat@hmetro.com.my

LEBIH dua dekad bertugas sebagai peguam syarie, Suriati Abdul Ghani, 47, sudah mengendalikan ribuan kes berkaitan masalah rumah tangga.

Pelbagai ‘drama’ rumah tangga disaksikannya daripada kisah kecurangan, perebutan hak penjagaan anak hinggalah konflik kewangan yang menjadi perbalahan berpanjangan.

Kejayaan membela dan mempertahankan hak klien adalah kepuasan bagi peguam syarie sepertinya.

Suriati berkata, antara kes paling berjaya pernah dikendalikan ialah membantu klien memperoleh tuntutan mutaah berjumlah RM1.5 juta.

“Klien suri rumah yang diarahkan suami untuk mengurus kedai runcit selama 30 tahun sendirian, sambil menjaga keluarga.

“Malangnya, sepanjang tempoh itu, wanita berkenaan tidak diberi gaji,” katanya.

Menurut Suriati, wanita itu datang berjumpa dengannya untuk membuat tuntutan mutaah berkenaan terhadap bekas suami selepas bercerai.

“Kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh dua bulan kerana bekas suami wanita itu memberi kerjasama yang baik.

“Segala dokumen berkenaan kemampuan bekas suami wanita ini berjaya dikemukakan kepada mahkamah hasil carian peguam.

“Bekas suaminya adalah individu berada dan melunaskan nafkah tertunggak melalui dua kali bayaran,” katanya.

Suriati berkata, semasa persetujuan direkodkan di mahkamah sebagai perintah mutaah sebanyak RM1.5 juta, dia bersyukur dapat membantu suri rumah yang selama ini tiada apa-apa dan hanya berbakti kepada rumah tangga sepenuhnya selama 30 tahun.

“Alhamdulillah, Allah SWT simpan rezeki untuknya selepas berpisah dengan suami.

“Ini adalah pencapaian peribadi yang terbesar dalam kerjaya saya, sekali gus menjadi pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

“Sebenarnya, bukan mudah untuk dapatkan dokumen pihak ketiga bagi membuktikan kemampuannya. Namun itulah sebenarnya tugas peguam.

“Antara kes yang sering saya kendalikan ialah perceraian dan tuntutan hak selepas perceraian. Namun, paling mencabar daripada segi emosi ialah yang membabitkan hak penjagaan anak,” katanya.

Menurutnya, kes itu (hak penjagaan anak) turut membabitkan emosi semua pihak kerana apa yang diinginkan klien tidak semestinya dapat dipenuhi.

“Sebagai peguam, saya perlu memberitahu perkara yang benar walaupun klien tidak menyukainya.

“Ada kalanya saya terpaksa menolak mengendalikan kes sebegini untuk mengelak daripada menerima kesan emosi menyedihkan,” katanya.

Suriati yang berasal dari Pulau Pinang berkata, ketika menceburi bidang itu lebih 20 tahun lalu, kadar gajinya jauh lebih rendah berbanding hari ini.

“Perjalanan kerjaya bermula dengan bekerja di sebuah firma guaman syarie, sebelum memilih membuka firma guaman bersama suami kerana masa kerja lebih fleksibel dan kebebasan mengurus klien.

“Kini bilangan peguam syarie wanita semakin meningkat berbanding dahulu.

“Ini perkembangan positif yang mana masyarakat ada banyak pilihan untuk dapatkan khidmat peguam syarie,” katanya.

Dalam pada itu, Suriati menasihati wanita yang berminat dalam bidang ini supaya tidak mudah berputus asa.

“Mungkin pada permulaan kerjaya, gaji yang diterima tidak begitu tinggi.

“Namun, pengalaman yang ditimba sangat berharga dan memberi kepuasan tersendiri kerana dapat membantu klien menyelesaikan masalah rumah tangga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top