sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky mengesahkan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Thomas pada 24 April hingga 3 Mei depan.
Menurut Rexy, penyertaan pasangan profesional itu penting bagi memperkukuh kekuatan beregu lelaki negara, selain memastikan keserasian pasukan berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan berpasukan paling berprestij dunia itu.
“Memang kita perlukan pemain profesional untuk Piala Thomas. Mereka sudah beri komitmen, malah hingga ke Sukan Asia. Setakat ini, mereka akan mengikuti latihan bersama skuad negara sekurang-kurangnya dua kali seminggu sebagai persiapan ke kem latihan pusat,” katanya.
Ketika ini, Malaysia dilihat cukup kuat untuk sektor beregu lelaki apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada di ranking kedua dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (6) dan Sze Fei-Izzuddin (8) sekali gus membuka peluang lebih cerah untuk mendapatkan mata.
Selain itu, beberapa perancangan rapi juga sedang giat dilakukan bagi menentukan keperluan tambahan dari segi intensiti latihan, khususnya menjelang Kejohanan Badminton Asia dan kejohanan antarabangsa lain yang menjadi pentas pemanas badan.
“Kita akan lihat sama ada sebelum Kejohanan Asia nanti mereka perlu tambah sesi latihan. Semua ini untuk memastikan persiapan ke Piala Thomas berada di landasan terbaik,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan perubahan sekiranya pasangan lain mempamerkan prestasi luar biasa dalam kejohanan utama selepas ini.
“Kalau ada pasangan lain seperti Wan Arif dan Yap Roy King menunjukkan keputusan luar biasa di kejohanan besar, situasinya boleh berubah. Kita sentiasa nilai berdasarkan prestasi semasa,” katanya.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menjuarai Piala Thomas adalah pada 1992 apabila menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd



