80,000 rakyat Palestin tunai solat Jumaat pertama Ramadan di Masjid Al-Aqsa

80,000 rakyat Palestin tunai solat Jumaat pertama Ramadan di Masjid Al-Aqsa

Baitulmuqaddis/Istanbul: Kira-kira 80,000 rakyat Palestin menunaikan solat Jumaat pertama bulan suci Ramadan di Masjid Al-Aqsa di Timur Baitulmuqaddis yang diduduki, termasuk hanya 10,000 jemaah dari Tebing Barat susulan sekatan ketat Israel, menurut pihak berkuasa tempatan.

Jabatan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan seramai 80,000 jemaah menunaikan solat Jumaat pertama Ramadan di Masjid Al-Aqsa, lapor Anadolu Ajansi.

Polis Israel ditempatkan secara beramai-ramai di sekitar pekarangan masjid dan di seluruh Kota Lama Baitulmuqaddis serta lorong-lorongnya sebelum waktu solat.

Pihak polis berkata seramai 3,000 anggota telah dikerahkan ke seluruh Timur Baitulmuqaddis pada Jumaat. Langkah itu seiring dengan sekatan Israel terhadap rakyat Palestin yang dalam perjalanan dari Tebing Barat yang diduduki ke bandar itu.

Saksi memberitahu Anadolu bahawa tentera Israel menyekat beribu-ribu jemaah di pusat pemeriksaan di sekitar Timur Baitulmuqaddis, sekali gus menghalang mereka daripada sampai ke masjid.

Pejabat Gabenor Baitulmuqaddis Palestin berkata beribu-ribu penduduk Tebing Barat bersesak di pusat pemeriksaan Qalandia, namun pihak berkuasa Israel menafikan kemasukan mereka dengan mendakwa bahawa “kuota 10,000 orang untuk hari Jumaat telah dipenuhi.”

Saluran 12 Israel melaporkan bahawa kepimpinan politik Israel meluluskan rancangan pada Rabu lepas yang membenarkan sehingga 10,000 jemaah Palestin dari Tebing Barat memasuki Al-Aqsa untuk solat Jumaat sepanjang Ramadan.

Di bawah rancangan itu, rakyat Palestin dari Tebing Barat mesti mendapatkan permit harian khas terlebih dahulu bagi setiap waktu solat.

Akses dari Tebing Barat dihadkan kepada lelaki berumur 55 tahun ke atas, wanita berumur 50 tahun ke atas, dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang ditemani oleh saudara terdekat, menurut Saluran 12.

Tentera Israel berkata semua permit memerlukan “kelulusan keselamatan terlebih dahulu” dan jemaah mesti melengkapkan prosedur pengesahan digital di lintasan sempadan apabila kembali ke Tebing Barat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top