lokman.khairi@hmetro.com.my
Shah Alam: Usianya baharu 15 tahun, tetapi Qaireen Adriana Tihani Mohamed Haffiez dari Setia Alam, di sini, diuji penyakit jantung kronik sejak lahir dan perlu menjalani pembedahan keempat, awal Mac depan.
Bapanya, Mohamed Haffiez Mansor Taridi, 42, berkata, pembedahan yang dijadualkan pada 5 Mac di sebuah hospital swasta di ibu negara itu menelan kos RM50,000 bagi menukar injap jantung, tidak termasuk rawatan susulan.
Bagaimanapun, menurutnya yang bekerja sebagai peniaga kek lapis, wang simpanan belum mencukupi untuk pembedahan anak sulung daripada empat beradik itu.
“Saya sudah pun memohon bantuan subsidi kerajaan dan bantuan Lembaga Zakat Selangor, namun belum dapat kelulusan zakat.
“Buat masa ini, saya sedaya upaya kumpulkan wang pembedahan dengan perniagaan kek lapis yang pendapatannya tidak menentu.
“Jika boleh, saya mohon orang ramai membantu membeli kek ini supaya anak saya boleh jalani pembedahan penting 5 Mac bersamaan 15 Ramadan ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, selain kos pembedahan, perbelanjaan rawatan bulanan anaknya juga tinggi kerana Qaireen atau mesra dengan panggilan ‘kakak’ kerap tidak sihat dan perlu mendapatkan rawatan susulan.
“Dalam sebulan, ada hari-hari dia tak sihat dan saya perlu bawa ke klinik. Jika sekali rawatan sekitar RM100 dan berlaku 10 hingga 12 kali sebulan, kos itu saja sudah membebankan.
“Sebab itu saya berniaga kek lapis untuk tampung perbelanjaan harian dan persediaan sebelum serta selepas pembedahan,” katanya.
Beliau berkata, selepas pembedahan nanti, Qaireen dijangka perlu berehat beberapa bulan dan tidak dapat hadir ke sekolah seperti biasa.
Tambah Mohamed Haffiez, keadaan dirinya sendiri yang menghidap Haglund’s Deformity iaitu benjolan tidak normal pada kedua-dua tumit kaki turut mengehadkan pergerakan untuk mencari rezeki.
“Saya kini berjalan menggunakan tongkat dan ada masa perlu guna kerusi roda kerana sakit.
“Doktor juga memaklumkan saya mungkin perlu menjalani pembedahan kaki dan berehat sehingga setahun.
“Jadi perniagaan kek lapis inilah sumber pendapatan utama kami buat masa ini,” katanya.
Menurutnya, kek lapis dijual pada harga RM15 dengan 34 pilihan perisa dan orang ramai yang tinggal berhampiran Setia Alam boleh mengambil sendiri di rumahnya, manakala pesanan luar kawasan akan dipos.
“Saya sangat berharap masyarakat di luar sana yang berkelapangan dapat membantu dengan membeli kek lapis kami.
“Harapan saya hanya satu, supaya anak saya dapat menjalani pembedahan dan kembali menjalani kehidupan seperti remaja lain,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban kewangan atau membeli kek lapis boleh menghubungi Mohamed Haffiez di talian 017-6687229 .
© New Straits Times Press (M) Bhd




