Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Rasuah Khas yang baru ditubuhkan dijangka mengubah landskap pengendalian kes rasuah berprofil tinggi, dengan pengamal undang-undang menyifatkannya sebagai usaha serius ke arah meningkatkan kecekapan kehakiman serta memperkemas pengurusan kes.
Peguam jenayah Sivahnathan Ragava berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen badan kehakiman di bawah kepimpinan Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam memperkukuh pentadbiran keadilan.
“Seperti yang sering dikatakan, ‘pengkhususan melahirkan kecemerlangan’, apabila sebuah Mahkamah Tinggi khusus atau hakim Mahkamah Tinggi ditugaskan semata-mata untuk kes rasuah, serta-merta ia akan meningkat kecekapan kehakiman.
“Ia akan membolehkan hakim lebih fokus serta menguruskan perkara yang rumit dan berprofil tinggi dengan lebih tepat, terutamanya kes melibatkan individu ternama, bekas ahli politik dan pertikaian berkepentingan tinggi,” katanya.
Sivahnathan berkata struktur mahkamah khusus itu, yang berkait dengan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah sedia ada, akan memperkemas perbicaraan kes rasuah selain membolehkan hakim Mahkamah Tinggi menumpukan perhatian kepada perkara jenayah serius lain yang terus membanjiri mahkamah, khususnya kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang melibatkan kesalahan pengedaran dadah tanpa kebenaran jaminan, memerlukan tertuduh direman hingga perbicaraan mereka selesai. Jadi, inisiatif ini (Mahkamah Tinggi Rasuah Khas) berpotensi mempercepatkan penyelesaian kes jenayah serius lain serta meningkatkan kecekapan keseluruhan sistem mahkamah,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, peguam Nur Ashiqeen Mohd Sultan berkata kes rasuah selalunya lebih rumit dan melibatkan banyak dokumen, menjadikan kelewatan tidak dapat dielakkan lebih-lebih lagi apabila ia dibicarakan bersama kes jenayah umum lain di Mahkamah Sesyen biasa.
“Di kebanyakan negeri, kita telah ada Mahkamah Sesyen khas untuk kesalahan seksual. Konsepnya sama, iaitu kesalahan tertentu mempunyai cabaran pembuktian dan prosedur yang unik, dan mahkamah khusus dapat memastikan kesinambungan yang lebih baik serta pengurusan kes yang lebih cekap.
“Memperluas pendekatan ini kepada kes rasuah adalah satu langkah yang lojik. Dari sudut pencegahan, penguatkuasaan bukan sahaja perlu ada malah perlu dilihat berkesan dan dilaksanakan tepat pada masanya. Kesalahan rasuah sering membabitkan individu yang menyandang jawatan berautoriti atau memegang kepercayaan awam, dan kesedaran bahawa siasatan serta pendakwaan dapat dijalankan tanpa kelewatan berpanjangan boleh menjadi faktor pencegahan yang ketara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Raymon Ram menyifatkan inisiatif itu sebagai satu pembaharuan penting namun bersifat separa.
“Penubuhan struktur mahkamah khusus mampu meningkatkan disiplin penjadualan dan pengurusan kes, yang semuanya penting bagi mengurangkan tempoh perbicaraan berlarutan yang selama ini menjejaskan keyakinan awam,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan mahkamah khusus mesti mempunyai sumber yang mencukupi, diurus secara telus dan dilindungi daripada sebarang pengaruh luar untuk menjadikan ia lebih efektif.
Baru-baru ini, Noor Ruwena Md Nurdin telah dilantik untuk mempengerusikan Mahkamah Tinggi Rasuah Khas Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa 1 April 2026.
Ketika ini, sebanyak 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah beroperasi di seluruh negara dengan sasaran menyelesaikan setiap kes dalam tempoh setahun dari tarikh pendaftaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




