Sakhir, Bahrain: Charles Leclerc mencatat masa terpantas pada hari terakhir ujian pramusim Formula Satu (F1) di Litar Sakhir, Bahrain, semalam ketika persiapan Aston Martin bagi musim baharu bertukar kecoh.
Jentera baharu Aston Martin yang direka Adrian Newey tampil dengan konsep berbeza berbanding pasukan lain di grid, walaupun semua pasukan melakukan perubahan besar susulan peraturan baharu membabitkan casis dan enjin.
Bagaimanapun, jentera berkenaan berdepan masalah unit kuasa Honda pada Khamis apabila Fernando Alonso mengalami kegagalan bateri.
Pasukan itu turut berdepan kekurangan alat ganti dan Lance Stroll hanya sempat melengkapkan enam pusingan pada Jumaat, dua pada sesi pagi dan empat pada sebelah petang, sebelum Aston Martin menamatkan ujian dua jam lebih awal daripada jadual.
“Secara keseluruhan, kami tidak gembira dengan prestasi dan tahap kebolehpercayaan ketika ini.
“Kami berjaya mengumpul data, namun tidak mencapai jumlah jarak terkumpul seperti disasarkan,” kata pengurus am operasi litar dan ketua jurutera Honda, Shintaro Orihara, dalam kenyataan media.
Alonso dan Stroll hanya melengkapkan 128 pusingan sepanjang tiga hari ujian, bersamaan jumlah yang dicapai kebanyakan pasukan dalam tempoh sehari.
“Beberapa minggu di Bahrain cukup mencabar dan sesi terhad hari ini bukan cara yang kami mahukan untuk menutup ujian kedua,” kata Stroll.
“Jelas jentera ini belum berada pada tahap prestasi diinginkan dan masih banyak kerja perlu dilakukan dalam beberapa minggu dan bulan akan datang.”
Aston Martin turut terlepas hampir dua hari penuh sesi ‘shakedown’ di Barcelona bulan lalu.
“Kami tahu bahagian mana perlu diberi tumpuan untuk menambah baik jentera dan itu sesuatu yang positif.
“Peraturan baharu sangat kompleks, tetapi juga menarik,” kata duta pasukan, Pedro de la Rosa.
Honda dan Newey kini hanya mempunyai tempoh dua minggu untuk menyelesaikan masalah berkenaan sebelum pasukan berkumpul di Melbourne bagi perlumbaan pembuka tirai musim baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



