Jutaan jemaah banjiri Masjidil Haram untuk solat Jumaat pertama Ramadan

Jutaan jemaah banjiri Masjidil Haram untuk solat Jumaat pertama Ramadan

Makkah: Lautan jemaah membanjiri Masjidilharam pada Jumaat, berhimpun bagi menunaikan solat Jumaat pertama dalam bulan suci Ramadan.

Menurut laporan agensi berita International Quran News Agency (IQNA), jutaan umat Islam dari seluruh dunia memenuhi ruang solat dan pekarangan Masjidil Haram seawal pagi.

Laporan yang memetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA) itu menyebut, masjid berkenaan menyaksikan kemasukan besar-besaran jemaah apabila lorong dan dataran masjid dipenuhi umat Islam yang hadir bagi merebut keberkatan Jumaat pertama Ramadan.

Bagi menampung kehadiran luar biasa itu, pelbagai langkah penyelarasan dilaksanakan termasuk pengurusan pergerakan jemaah secara sistematik, kerja-kerja sanitasi serta perkhidmatan memberi panduan.

Usaha di lapangan itu memastikan aliran pergerakan berjalan lancar sekali gus membolehkan jemaah menunaikan ibadah dengan selesa dan teratur.

Perhimpunan penuh makna itu sekali lagi mengukuhkan lagi peranan Masjidilharam sebagai nadi penyatuan umat Islam di seluruh dunia, selain mencerminkan komitmen pihak berkuasa dalam menyediakan pengalaman ibadah yang tenang dan istimewa kepada pengunjung di Makkah.

Sementara itu, Imam Masjidil Haram Sheikh Abdullah Al-Juhani dalam khutbah Jumaatnya mengingatkan jemaah bahawa kehidupan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat semasa Ramadan dicirikan dengan ibadah yang aktif dan amal kebajikan.

Beliau menekankan bahawa matlamat murni berpuasa adalah untuk mencapai ketakwaan dan memelihara peribadi daripada perbuatan yang dilarang.

Sheikh Al-Juhani turut menggesa umat Islam untuk mematuhi adab kenabian, dengan menekankan kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur.

Beliau mengakhiri khutbah dengan meminta umat Islam untuk merebut peluang pada musim yang penuh barakah itu melalui ibadah yang tekun dan amal soleh, sambil menyatakan bahawa Ramadan adalah tempoh istimewa apabila doa dimakbulkan dan rahmat Ilahi melimpah-ruah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top